suria

1.3 Juta PATI Dibenar Bekerja Di Lima Sektor - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Lima sektor pekerjaan kini dibenarkan mengambil seramai 1.3 juta pekerja asing tanpa izin (PATI) yang berdaftar di bawah Program Penyelesaian Menyeluruh Menangani Pekerja Asing Tanpa Izin (Program 6P) bagi mengisi kekosongan dalam sektor berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata lima sektor berkenaan yang dibenarkan dalam dasar semasa kerajaan ialah perkilangan, perladangan, pertanian, pembinaan dan 15 jenis pekerjaan dalam sektor perkhidmatan.

"Saya yakin 1.3 juta PATI ini yang tidak mempunyai majikan sebelum ini dapat disalurkan kepada lima sektor ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama Pengarah Imigresen Negeri di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, Selasa.

Katanya beliau dimaklumkan keperluan tenaga pekerja asing dalam lima sektor tersebut kini melebihi 1.3 juta pekerja.

Menurutnya 1.3 juta PATI itu adalah sebahagian dari jumlah keseluruhan 2.3 juta pendatang asing yang berdaftar dalam Program 6P lalu.

Hishammuddin berkata tindakan susulan untuk menawarkan dan membahagikan pekerjaan kepada mereka terletak di bawah tanggungjawab kementerian yang relevan dengan lima sektor berkenaan.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata "post-mortem" fasa kedua Program 6P iaitu pemutihan akan dibuat esok dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Muhyiddin Yassin serta dianggotai oleh 14 kementerian dan agensi.

Antara perkata penting yang akan dibincangkan sama ada proses pemutihan itu akan mengguna pakai Dasar Penggajian Pekerja Asing Semasa atau dasar khas khusus untuk proses pemutihan, katanya.

Hishammuddin juga berkata pihak berkuasa akan memberi perlindungan keselamatan sepanjang masa kepada Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, A.K.M. Atiqur Rahman berikutan ugutan yang diterimanya dari pihak tertentu.

Ugutan itu dipercayai berikutan keputusan Pesuruhjaya Tinggi itu tidak membenarkan ejen untuk mendaftar warga Bangladesh di bawah program 6P.

"Dengan adanya Pesuruhjaya Bangladesh bekerjasama rapat dengan kita, kita dapat mendaftarkan seramai 400,000 warga Bangladesh sama ada yang masuk secara sah atau tidak dalam negara ini," katanya.

Terdahulu, dalam perjumpaan itu, Hishammuddin meminta Jabatan Imigresen mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi berkaitan bagi mengesan dan menahan PATI dan majikan yang gagal berdaftar melalui Program 6P tersebut. -BERNAMA

Artikel Lain