suria

20 Lagi Pendatang Asing Tanpa Izin Myanmar Ditahan Di Pulau Pinang

BALIK PULAU: Polis menahan 20 lagi pendatang asing tanpa izin (Pati) Myanmar di pesisir pantai Pulau Betong di sini Khamis. Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Hatta Md Zin berkata mereka yang berusia antara 20 dan 30 tahun itu ditahan dalam operasi khas hingga pukul 5 petang Khamis.

Sebelum ini, 77 pendatang ditahan di kawasan yang sama dalam operasi antara 8 hingga 12 tengah hari tadi.

Mereka merupakan antara 115 Pati dari Myanmar yang dikesan menaiki sebuah bot kira-kira 28 batu nautika dari pantai itu hari ini.

Hatta berkata daripada jumlah 20 orang itu, 14 orang ditemui bersembunyi di dalam bot berkenaan manakala enam lagi di sekitar hutan berhampiran pesisir pantai Pulau Betong.

Beliau berkata jumlah selebihnya kumpulan Pati itu masih dikesan.

Kehadiran para pendatang itu pada mulanya dikesan oleh beberapa orang nelayan tempatan yang melihat sebuah bot yang diperbuat daripada kayu berlabuh kira-kira 28 batu nautika dari Pulau Betong dan melihat ramai orang berenang ke pantai dari bot berkenaan.

Salah seorang Pati yang ditahan itu Anowar Hossain, 23, berkata dia membayar RM420 sebagai upah kepada pembawa bot untuk dibawa ke Malaysia.

"Ketika berada di kem pelarian Bangladesh, kami berbincang bagaimana untuk datang ke Malaysia sebelum didatangi seorang lelaki yang menawarkan diri untuk membawa kami ke sini.

"Tetapi kami tidak kenal dia dan kami juga tidak dijanjikan apa-apa pekerjaan," katanya yang mempunyai saudara di Malaysia.

Rakannya Mohammad Hussin, 30, berkata mereka kelaparan akibat kehabisan makanan sejak sembilan hari lepas.

"Kebanyakan kami tidak makan dalam sembilan hari itu. Kami cuma minum air," katanya yang pernah datang ke Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain