suria

Usaha Kerajaan Akan Galakan Malaysia Miliki Kenderaan Hijau

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan dalam memacu inisiatif hijau seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2012, akan menggalakkan penerimaan pasaran dan menggerakkan rakyat Malaysia untuk memiliki kenderaan hijau mereka sendiri, kata Proton Holdings Bhd (Proton).

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata: "Ini merupakan titik positif untuk Proton memandangkan kami bergerak ke arah itu menerusi pembangunan kenderaan hijau - Saga EV dan Exora REEV."

Kedua-dua kereta itu kini diuji atas jalan menerusi Program Ujian Fleet (FTV) Proton dengan kerajaan, katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Beliau bagaimanapun berharap ia akan diikuti lebih banyak inisiatif oleh kerajaan bagi menggalakkan lagi pembelian kenderaan seperti itu, termasuk langkah mengurangkan kos pemilikan dan memperoleh alat komponen berkaitan dalam negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2012 di Parlimen semalam, mencadangkan pengecuaian import dan duti eksais sepenuhnya ke atas kereta hibrid dan elektrik akan terus diberikan kepada pemegang francais, bagi mempromosi teknologi hijau dan memastikan pembangunan mampan industri itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) Datuk Aminar Rashid Salleh berkata Belanjawan 2012 sudah pasti akan membantu mengurangkan impak cabaran ekonomi dunia. - BERNAMA

Artikel Lain