suria

Polis Brickfields Berkas Dua Lelaki Selesai Tujuh Kes Pecah Kereta

KUALA LUMPUR: Polis Brickfields berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah kereta di sekitar Sri Petaling, hasil penangkapan dua lelaki yang masing-masing berumur 25 tahun di Jalan Radin Anum, Sri Petaling di sini, pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata kedua-dua suspek ditahan lima anggota polis yang ketika itu melakukan rondaan motosikal di kawasan terbabit kira-kira pukul 9.30 malam.

"Pada mulanya suspek dilihat berlegar-legar dengan menaiki motosikal jenis Yamaha LC 125 berwarna hitam di kawasan lampu isyarat Jalan Merah Cagar sekitar jam 7.50 malam.

"Melihat keadaan (tingkah laku) suspek yang mencurigakan, polis cuba menahan mereka namun suspek melarikan diri dan akhirnya berjaya diberkas di Jalan Radin Anum," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Khamis. Beliau berkata, dalam kejadian itu polis merampas sebuah motosikal yang dipercayai motosikal curi, sepasang sarung tangan hitam, satu botol plastik yang mengandungi cat berwarna merah jambu, satu tin kecil peluntur cat (tinner), palam pencucuh (spark plug) dan satu topi berwarna hitam.

"Siasatan kita mendapati mereka juga merupakan pengutip hutang bagi individu yang meminjam dari "Ah Long". Peluntur cat itu dipercayai digunakan untuk menakut-nakutkan dan mengugut peminjam supaya membayar hutang," katanya.

Wan Bari berkata, siasatan susulan mendapati seorang daripada mereka mempunyai tujuh rekod lampau iaitu kes curi kenderaan, samun dan pengedaran dadah.

Kedua-dua mereka ditahan reman sehingga esok, katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita di sebuah rumah teres di Bandar Puchong Jaya di sini, serta merampas tiga paket dadah jenis heroin seberat 1,360 gram dengan nilai anggaran RM25,000.

Kesemua mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun ditahan di hadapan rumah tersebut kira-kira pukul 5 petang pada Isnin lepas ketika sedang berbual.

Dua lelaki yang masing-masing berumur 20 tahun itu mempunyai rekod lampau dadah manakala wanita tersebut tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.

Mereka ditahan reman sehingga 2 Okt depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain