suria

280 Pusat Jagaan Warga Tua Tidak Berdaftar Dengan JKM

KUALA LUMPUR: Sebanyak 280 pusat jagaan warga tua di seluruh negara tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika ini.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Warga Tua dan Keluarga JKM, Ruhaini Zawawi, berkata angka itu lebih tinggi berbanding 102 pusat jagaan warga tua berdaftar.

JKM telah memberi amaran kepada pemilik pusat jagaan yang tidak berdaftar itu selain memberi masa kepada pusat berkenaan untuk mendaftar, katanya ketika ditemu ramah dalam Program Kerusi Panas terbitan Bernama Radio24.

"Kita beri masa memandangkan pusat berkenaan perlu memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan seperti mendapat kelulusan pelbagai pihak, termasuk pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kesihatan dan pihak bomba selain perlu memenuhi ciri-ciri premis yang dibenarkan," kata Ruhaini.

Beliau berkata pusat jagaan yang tidak mematuhi arahan supaya berdaftar itu menghadapi kemungkinan dihentikan operasinya.

Orang ramai diminta memaklumkan kepada JKM mengenai kewujudan pusat jagaan warga tua tidak berdaftar untuk tindakan susulan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain