suria

Polis Bimbang Penunggang Motosikal Masih Jadi Korban Tertinggi

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar Isnin, meluahkan kebimbangan terhadap pengguna motosikal yang terus menjadi penyumbang kepada peningkatan angka kemalangan dan kemalangan maut dalam statistik Ops Sikap yang dilancarkan 22 Ogos lepas.

Beliau berkata kajian polis menunjukkan kebanyakan kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal berlaku pada waktu petang bermula dari pukul 2 petang yang mungkin disebabkan faktor cuaca dan keletihan selain kecuaian sendiri dan pengguna jalan raya lain.

"Terdapat 117 kematian dicatatkan sehingga hari ini (sejak Ops Sikap Ke-24 bermula 23 Ogos lepas) dan 71 daripadanya adalah penunggang motosikal," katanya kepada pemberita selepas melawat Kanopi Ops Sikap di Jalan Sungai Buloh menghala Kuala Selangor di sini.

Khalid berkata daripada lebih 40 peratus kemalangan berlaku di Jalan Persekutuan, kajian menunjukkan bukan semua yang ingin balik kampung terlibat tetapi juga pengguna yang biasa menggunakan laluan tersebut setiap hari.

Selain itu, kenderaan yang berhenti di laluan kecemasan juga penyumbang kepada statistik kemalangan, katanya.

"Jika tiada sebab jangan berhenti di laluan kecemasan. Kita telah disediakan hentian rehat dan rawat (R&R) , tempat yang selamat.

"Ada kes melibatkan kereta yang berhenti di laluan kecemasan itu dilanggar oleh motosikal atau lori. Anggota trafik telah diarahkan untuk ambil tindakan tegas terhadap mereka yang sengaja berhenti di laluan itu," katanya.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang dikatakan menghina pasukan polis baru-baru ini, beliau berkata kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang melibatkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

"Kenyataan itu menggemparkan masyarakat. Kita telah menerima sebanyak 49 laporan polis setakat ini dan ini akan disiasat secara menyeluruh. Ianya telah menyakitkan hati ahli-ahli pasukan keselamatan negara dan juga ahli keluarga mereka yang terkorban semasa tragedi Bukit Kepong.

"Saya rasa dia kurang buka buku sejarah atau bertanya pada mereka yang tahu mengenai sejarah tragedi itu. Dia patut pergi melawat kawasan itu dan tengok dengan mata dan kepalanya sendiri," katanya.

Mohamad Sabu, atau lebih dikenali sebagai 'Mat Sabu' dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lepas, dilaporkan berkata pengganas komunis yang membunuh dengan kejam anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain