suria

Warga Asing 'Kuasai' Ibu Kota Pada Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Persis perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, ibu kota pada Selasa dipenuhi warga asing yang mengambil peluang bersiar-siar dan berkumpul bersama rakan sempena cuti umum Aidilfitri.

Tinjauan Bernama di sekitar stesen bas dan kereta api seperti Pudu Sentral, Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) dan Stesen Putra mendapati kawasan itu 'dikuasai' rakyat asing seperti warga Bangladesh, Nepal dan Indonesia.

Masing-masing yang ditemui berkata mereka mengambil kesempatan cuti umum yang panjang sempena Aidilfitri dan juga ulang tahun kemerdekaan Malaysia untuk berehat bersama rakan, serta mengunjungi saudara yang berada di negara ini.

"Hari ini cuti raya, saya mahu pergi ke rumah adik untuk makan-makan dan raya di sana bersama kawan-kawan selama dua hari," kata warga Bangladesh Anuar Hussin yang mahu ke Cameron Highlands, ketika ditemui di Stesen Pudu Sentral.

Katanya ada juga rakannya yang mengunjungi tempat menarik di negara ini seperti Langkawi dan Pulau Pangkor.

Dalam pada itu, tidak kurang juga yang sekadar bersiar-siar ataupun membeli-belah seperti Misnati Abdullah yang ditemui di KL Sentral.

Wanita dari Indonesia itu berkata beliau bersama adiknya mengambil peluang daripada jualan murah yang masih berlangsung di situ.

"Saya dan adik datang ke sini untuk tengok kasut, baju dan beg yang murah-murah, lagipun hari inilah nak membeli-belah sebab orang tak ramai dan tak sesak," katanya.

Sementara itu, suasana Stesen Putra yang menjadi pusat bas ekspres ke pantai timur lengang dan sunyi kerana hampir kesemua kaunter tiket ditutup.

Pegawai operasi sebuah syarikat bas Mat Rahim Seman berkata hanya satu kaunter tiket dibuka hari ini untuk perjalanan bas tambahan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Azhar CEO Baru MRT Co

Artikel Lain