suria

JTKSM Batalkan Lesen APS Tidak Beroperasi Melebihi Setahun

KUALA LUMPUR: Agensi Pekerjaan Swasta (APS) yang tidak beroperasi melebihi tempoh setahun akan dibatalkan lesen dalam operasi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) selama sebulan mulai 1 Sept.

"Mana-mana agensi yang tidak beroperasi melebihi tempoh setahun atau tidak berminat untuk menjalankan aktiviti, dikehendaki hadir ke Pejabat Tenaga Kerja berdekatan untuk membuat pembatalan lesen dan tuntutan bayaran balik bon tunai.

"Sepanjang tempoh sebulan itu, tiada sebarang tindakan penguatkuasaan akan diambil," kata Ketua Pengarah Tenaga Kerja Sh Yahya Sh Mohamed dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Seksyen 11 Akta Agensi Pekerjaan Asing 1981 mewajibkan APS mengemukakan pembaharuan lesen sekurang-kurangnya dua bulan sebelum tarikh tamat lesen dan kegagalan melakukannya boleh menyebabkan denda RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, katanya.

Seksyen 7 (1) Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 pula menyatakan APS perlu memiliki lesen yang sah bagi menjalankan aktiviti pendaftaran, perekrutan dan penempatan pekerja.

"Agensi yang menjalankan aktiviti tanpa lesen boleh dikenakan denda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata selepas tempoh tersebut mana-mana agensi yang gagal hadir dan menbuat tuntutan balik akan menyebabkan bon tunai tersebut diserahkan kepada Kumpulan Wang Tidak Dituntut. - BERNAMA

Artikel Lain