suria

Raja Muda Perlis Nasihat Ibu Bapa Selidik Pusat Tuisyen

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Ahad menasihati ibu bapa agar menyelidiki latar belakang sesebuah pusat tuisyen sebelum menghantar anak-anak belajar di tempat berkenaan.

"Langkah ini penting bagi memastikan tiada agenda tersembunyi yang boleh menimbulkan masalah atau kecurigaan agama," titah baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada majlis berbuka puasa Jabatan Pelajaran Perlis di Kompleks Warisan di sini.

Baginda memberi nasihat itu berikutan terbongkarnya sebuah pusat tuisyen di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur yang didakwa menyebarkan dakwah Kristian kepada pelajar termasuk kepada pelajar Islam.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Perlis, Don Kasa dalam ucapannya berkata, 46 pelajar miskin menyertai program Sentuhan Kasih tahun ini dengan menerima bantuan daripada Baitulmal Perlis.

Turut hadir di majlis itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Yazid Mat yang mewakili Menteri Besar, serta pelajar program tersebut dan pelajar-pelajar miskin yang menghuni asrama sekolah-sekolah di Perlis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zuraida Tak Gentar Saman KDN

Artikel Berikut

Artikel Lain