suria

Mudahnya Melafazkan Cerai

JODOH, ajal dan maut adalah kuasa Tuhan. Rasanya tiada sesiapa yang waras fikirannya akan mengharapkan ikatan perkawinan yang dibina dengan kasih dan sayang terlerai di pertengahan jalan.

Bagaimanapun, takdir menentukan pelakon dan penyanyi, Joey, 37, berpisah dengan isterinya, Noraini Mohammad Nasir, 44, selepas lima tahun merasai pahit manis kehidupan berumahtangga.

Pasangan tersebut berkahwin pada 4 Mei 2005 dan mengambil seorang anak angkat perempuan bernama Zidani, 4, sebelum Joey atau nama sebenarnya, Zulkifli Daud melafazkan cerai pada 4 Jun 2010 di tempat letak kereta rumah mereka yang terletak di Ampang.

Akur dengan lafaz tersebut, Noraini memfailkan permohonan di mahkamah untuk mengesahkan lafaz yang didakwanya bermula dengan Bismillah, meskipun dia sebenarnya tidak mendengar lafaz terbabit ekoran telah meluru masuk ke dalam rumah kerana tidak sanggup untuk mendengarnya.

Bagaimanapun, lafaz cerai itu didengari oleh seorang rakan Joey yang dikenali sebagai 'Acong' yang kemudiannya menjadi 'orang tengah' untuk menghubungi si isteri bagi menyampaikan berita bahawa dia telah diceraikan.

Seperti seorang lelaki budiman, Joey tidak menidakkan segala keterangan berkaitan dakwaan lafaz cerai tersebut, cuma dia 'bermati-matian' menafikan dakwaan Noraini bahawa mereka telah kembali rujuk empat hari selepas lafaz talak dibuat.

Dakwa Noraini, Joey yang telah keluar dari rumah selepas lafaz cerai, kembali semula pada 8 Jun 2010 dan ada melafazkan rujuk di dalam bilik tidur mereka sebelum berlaku hubungan kelamin.

Wanita yang suatu ketika dahulu bergelar produser, juga mendakwa, lafaz rujuk dibuat secara percakapan dan perbuatan kerana menurutnya, semasa itu tangan kanan Joey memegang dahinya sementara tangan kiri memegang al-Quran yang diletakkan di atas bantal.

Dakwaan tersebut 'ditangkis' oleh Joey menerusi keterangannya secara bersumpah memberitahu, tujuan dia kembali ke rumah pada tarikh itu sekadar untuk menjenguk anak dan mengambil barang.

Selain itu, penyanyi yang pernah menghasilkan album 'Joey' dan 'Beradu Suratan' itu juga menafikan dakwaan Noraini bahawa dia pernah membuat pengakuan ada menjalin hubungan dengan pelakon, Watie yang dikaitkan dengan dirinya selepas bertemu di lokasi penggambaran drama.

Menerusi keterangannya di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Noraini mendakwa, suaminya membuat pengakuan itu pada Mei 2010 diikuti tindakan keluar daripada rumah pada keesokan harinya dan tidak menjawab telefon mahupun membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar.

Dan sudah semestinya, dakwaan-dakwaan ini sekali lagi dinafikan oleh Joey yang juga secara terang-terangan memohon agar kes itu diselesaikan dengan segera kerana mahu 'mendirikan masjid' untuk kali kedua, tetapi tidak menyatakan siapakan wanita terbabit.

Selepas beberapa kali bersua muka pada prosiding mahkamah, Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah pada Khamis lalu, akhirnya mengesahkan bahawa lafaz cerai yang dibuat Joey di luar mahkamah lebih setahun lalu sebagai sah.

Pada penghakimanya, beliau berkata, lafaz cerai yang digunakan oleh Joey merupakan lafaz yang terang dan nyata selain diikuti dengan perbuatan meninggalkan rumah yang melengkapkan 'ikrar' tersebut.

Berhubung dakwaan rujuk pula, Abdul Halim memutuskan bahawa Noraini perlu menawarkan sumpah kepada Joey untuk menafikan dakwaan rujuk kerana kedudukannya sebagai orang yang didakwa.

Jika Joey enggan bersumpah, maka Noraini pula yang perlu bersumpah bagi 'mengiakan' setiap dakwaan yang dibuatnya.

Bagaimanapun, tawaran itu diterima oleh Joey yang dengan senang bersumpah menafikan bahawa dia tidak pernah sesekali melafazkan rujuk dan bersedia untuk menerima laknat Allah di dunia dan akhirat jika berdusta dengan sumpahnya.

Selepas sumpah itu dibuat, maka Abdul Halim memutuskan bahawa dakwaan Noraini itu tidak pernah berlaku.

Pada penghakimannya, Abdul Halim turut menyelitkan nasihat yang boleh diambil oleh semua kaum Adam yang merupakan nakhoda dalam pelayaran di lautan perkahwinan.

Katanya, umat Islam tidak seharusnya tergesa-gesa untuk menceraikan isteri sekalipun telah berasa amat benci kerana ia seharusnya dilakukan mengikut prosedur yang betul dan dilafazkan di mahkamah.

Merujuk kepada kes di hadapannya, Abdul Halim berkata, si isteri telah berlalu dari situ kerana tidak sanggup untuk mendengar lafaz cerai dan wajar untuk perkara itu dimajukan ke pengetahuan mahkamah untuk disiasat.

Justeru itu, Abdul Halim menyifatkan tindakan Joey dalam melafazkan cerai adalah tergesa-gesa hanya kerana minat yang mendalam kepada seorang wanita yang lain.

Tambahnya lagi, seharusnya diingat atau sekurang-kurangnya mempunyai perasaan belas kasihan kepada isteri yang telah berpenat lelah untuk membantu suami.

Walaupun namanya dikaitkan dengan Watie dalam perbicaraan itu, Joey yang ditemui selepas selesai kes tersebut menafikan bahawa permasalahan rumah tangganya disebabkan orang ketiga, dan menurutnya itu adalah perkara yang benar kerana tidak mungkin dia berbohong dalam Ramadan yang mulia ini.

Reaksi berbeza diberikan oleh Noraini apabila mengambil peluang untuk menyampaikan pesanan kepada artis wanita untuk tidak memilih suami orang jika masih terdapat ramai lelaki di luar sana, bagi mengelakkan keruntuhan rumah tangga dan membiarkan anak-anak kecil tanpa bapa.

Secara peribadi, penulis sangat bersetuju dengan nasihat Hakim Syarie itu kerana sudah pasti di awal alam perkahwinan, banyak toleransi dan tolong-menolong berlaku, terutamanya buat pasangan muda yang berkahwin dalam keadaan ekonomi yang belum kukuh.

Jika benar tidak lagi boleh tinggal serumah, apatah lagi berkongsi katil, lebih baiklah kedua-duanya datang ke mahkamah - walaupun tidak dalam keadaan berpimpin tangan - untuk dilepaskan secara baik dan bagi mengelakkan berlaku penganiayaan terutamanya kepada wanita dan anak-anak.

Walaupun cerai adalah perkara halal yang paling dibenci, ia mungkin jalan penyelesaian terakhir terbaik daripada tinggal bersama tetapi ibarat kutub selatan dan kutub utara serta saling membenci yang boleh menjadi pengaruh negatif kepada anak kecil yang cenderung untuk meniru kelakuan ayah dan ibu.

Jika dahulu semasa 'mahu' sanggup meredah lautan api, mengapa pula semasa 'tidak' enggan berdepan dengan Hakim Syarie?

Artikel Lain