suria

Bekas Anggota Polis Didapati Bersalah Miliki Ganja

IPOH: Seorang bekas anggota polis berpangkat L/Kpl pada Selasa dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah memiliki dadah jenis Cannabis seberat 39.2 gram pada Januari tahun lepas.

Mohd Zamri Ismail, 43, yang bertugas di Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar, dekat sini didapati bersalah selepas mahkamah meneliti hujah-hujah pendakwaan dan pembelaan.

Mengikut pertuduhan pindaan, Mohd Zambri didakwa memiliki dadah jenis Cannabis seberat 39.2 gram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di atas kerusi di Pusat Cuci Kereta GP Global Pacific Enterprise Hasan Snow Car Wash di sini pada 5 Januari tahun lepas, 9.15 malam.

Majistret Intan Nurul Farena memerintahkan hukuman penjara dilaksanakan bermula Selasa.

Bagaimanapun, peguam Ranjit Singh Sandu yang mewakili Mohd Zamri memohon supaya mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman dan mengekalkan jumlah jaminan sebelum ini iaitu RM4,800 kerana pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi di sini Selasa.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Al-Hirzan Mahamad Akhir yang mewakili pihak pendakwaan memohon mahkamah menimbangkan faktor tertuduh sebagai bekas anggota polis yang sepatutnya menjadi contoh yang baik kepada masyarakat sebelum membenarkan permohonan pihak pembelaan.

"Saya memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam. Masyarakat memandang tinggi kepada pihak polis, jika anggota polis tidak menunjukkan imej yang baik, maka imej polis tercalar," katanya.

Majistret kemudiannya membenarkan penangguhan hukuman yang dipohon pihak pembelaan serta menetapkan jumlah wang jaminan sebanyak RM5,000. - BERNAMA

Artikel Lain