suria

179 Peniaga Didenda Jual Rokok Di Bawah Harga Minimum

KUALA LUMPUR: Seramai 111 peniaga dikenakan kompaun kerana menjual rokok di bawah harga minimum RM7 sebungkus manakala 68 peniaga lagi didapati bersalah menjual rokok tidak sah, iaitu tanpa cetakan amaran kesihatan bergambar dalam operasi Kementerian Kesihatan di seluruh negara minggu lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hassan Abdul Rahman berkata pihak penguatkuasa merampas 4,190 paket rokok tidak sah dengan nilai pasaran RM14,665 dalam operasi "Ops Basuh III" yang memeriksa sebanyak 2,214 premis.

Beliau berkata kompaun antara RM500 dan RM5,000 dikenakan bagi kesalahan menjual rokok di bawah harga minimum manakala bagi kesalahan menjual rokok tidak sah, peniaga yang didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Kementerian Kesihatan telah menghantar peringatan kepada pengilang rokok mengenai tanggungjawab memantau harga jualan produk rokok mereka dan memastikan peniaga yang menjadi agen mematuhi peruntukan undang-undang, katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sejak awal tahun, katanya, kementerian merampas sejumlah 10,549 paket rokok tidak sah dengan nilai pasaran sebanyak RM36,890. -BERNAMA

Artikel Lain