suria

Bekas Timbalan Naib Canselor Unisel Bebas Tuduhan Guna Dokumen Palsu

SHAH ALAM: Selepas dua tahun didakwa, bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel), Profesor Dr Rustam Abbas pada Selasa, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung surat penyambungan kontrak perkhidmatan jawatan tersebut.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Mat Ghani Abdullah membuat keputusan itu tanpa memanggil Rustam, 53, membela diri atas tuduhan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan.

Keputusan itu dibuat selepas Mat Ghani mendengar keterangan yang dikemukakan oleh 13 saksi pendakwaan.

Rustam didakwa telah secara curang menggunakan surat bertarikh 28 Disember 2006 bertajuk 'Penyambungan Kontrak Perkhidmatan/Pinjaman Sebagai Timbalan Naib Canselor, Universiti Industri Selangor' yang palsu sebagai tulen.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu antara Julai dan Ogos 2007 di Pejabat Bahagian Sumber Manusia Unisel, Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor, dekat sini.

Rustam yang kini merupakan pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) didakwa di mahkamah untuk kali pertama pada 15 Mac 2009.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Baharuddin Ahmad Kassim manakala Rustam diwakili oleh peguam Datuk Salehuddin Saidin.

Artikel Lain