MCA Anggap Isu Pusat Hiburan Sandiwara PAS Dan DAP - Semasa | mStar

MCA Anggap Isu Pusat Hiburan Sandiwara PAS Dan DAP

MELAKA: MCA menyifatkan isu penutupan pusat hiburan sepanjang Ramadan di Kedah sebagai sandiwara politik antara PAS dan DAP bagi memenangi hati pengundi Cina di negeri itu.

Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata isu itu sengaja dimainkan bagi membuktikan kepada masyarakat Cina bahawa DAP mempunyai pengaruh terhadap PAS.

"DAP akan mengatakan kepada masyarakat Cina jangan bimbang berhubung isu itu kerana akhirnya mereka (DAP) akan dapat mempengaruhi segala-galanya yang diperjuangkan dan diputuskan oleh PAS," katanya kepada pemberita, di sini Ahad.

Beliau yang sebelum itu merasmikan Mesyuarat Agung MCA Melaka 2011 diminta mengulas mengenai kesediaan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak bertemu dengan wakil Dewan Perhimpunan Cina Kedah, bagi memastikan isu tersebut berakhir dengan situasi menang-menang.

Kerajaan Kedah sebelum ini mengeluarkan arahan agar semua premis hiburan di negeri itu ditutup sepanjang bulan Ramadan bagi mencegah umat Islam mengunjunginya.

Mengulas lanjut, Dr Chua berkata tindakan kerajaan negeri pimpinan PAS itu mencabul hak bukan Islam untuk berhibur.

Mengulas perkara berlainan, Dr Chua menyangkal pendapat yang mengatakan judi menjadi amalan masyarakat Cina.

"Judi bawa impak negatif kepada masyarakat, malahan kalau ikut kata-kata masyarakat Cina dahulu menyebut 'lebih baik mempunyai seorang anak yang cacat daripada mempunyai anak yang kaki judi'," katanya.

Isnin lepas, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka Datuk Mohamed Yunos Husin ketika menjawab soalan di Dewan Undangan Negeri berkata judi tidak boleh disekat kerana kegiatan itu budaya masyarakat Cina. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Najib Lakukan Lawatan Kerja Ke Rom

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Kematian kanggaru 'sado' ditangisi