suria

Bersih 2.0: Jalan Raya Di Sekitar Kuala Lumpur Lengang Awal Sabtu

KUALA LUMPUR: Suasana sekitar Kuala Lumpur setakat pukul 8.30 pagi Sabtu kelihatan lengang berikutan beberapa jalan memasuki ke pusat bandar ditutup berperingkat ekoran beberapa pihak merancang mengadakan perhimpunan haram.

Keadaan trafik bagaimanapun dilihat terkawal dengan anggota polis berada di beberapa kawasan bagi mengawal lalu lintas ke pusat bandar, dengan kerjasama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sejak pukul 12 tengah malam tadi, polis telah menutup beberapa jalan masuk ke pusat bandar dan trafik dilencongkan ke beberapa jalan lain.

Antara jalan yang ditutup ialah Jalan Syed Putra, Jalan Bukit Petaling, Jalan Chenderasari dan kawasan sekitar Masjid Negara;

Kawasan di sekitar Dataran Merdeka, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dataran DBKL, Kompleks Sogo, Maju Junction, Masjid Kampung Baru, Jalan Kinabalu, Jalan Kuching, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Bot, Jalan Sri Amar, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Haji Taib. Jalan lain yang turut ditutup ialah Jalan Raja Muda Musa, Jalan Raja Bot, Jalan Raja Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Gereja, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak, Jalan Tun Tan Cheng Lok, Jalan Sultan Mahmud dan semua kawasan berhampiran.

Sementara itu, perkhidmatan bas di tiga terminal utama di Kuala Lumpur beroperasi sementara di terminal lain sejak awal hari ini.

Perkhidmatan bas ekspres dari Pantai Timur di Terminal Hentian Putra dan bas SKS (dari Seremban) di Pudu Raya dipindahkan sementara ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Bandar Tasik Selatan.

Perkhidmatan bas di Terminal Hentian Pudu Raya dan Terminal Hentian Jalan Pekeliling pula dipindahkan sementara ke Terminal Hentian Duta, Jalan Duta. - BERNAMA

Artikel Lain