suria

Jakim Sabah Wajibkan Pendakwahnya Dapat Tauliah Jabatan Mufti

TAWAU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sabah akan mewajibkan semua penceramah agama atau guru takmir lantikannya mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Sabah sebelum dibenar menjalankan kerja dakwah.

Pengarah Jakim Sabah Ahmad Zaki Arsad berkata langkah itu perlu dilaksanakan bagi membendung penyebaran pelbagai ajaran sesat atau ajaran yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Waljamaah di Sabah.

"Pada dasarnya, saya difahamkan Jabatan Mufti Negeri Sabah bersedia melakukan proses pentauliahan kepada pendakwah-pendakwah di Sabah kerana wujud pelbagai kefahaman terhadap ajaran Islam yang agak menyeleweng.

"Keduanya, wujud ajaran-ajaran sesat, khususnya yang difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, bukan sahaja di Sabah tetapi di seluruh negara. Dibimbangi mereka yang suka menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam akan mengambil peluang dalam ketiadaan penguatkuasaan dalam pendakwahan Islam," katanya.

Ahmad Zaki berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada "Seminar Sehari Menangani Ancaman Islam Liberal", anjuran Jakim Tawau di sini hari ini. Seminar berkenaan dirasmikan Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Ahmad Zaki berkata Jakim akan bekerjasama dengan Jabatan Mufti Negeri Sabah dalam proses pentauliahan itu nanti dan iklan mengenai pengambilan pendakwah dan guru takmir berkenaan akan dikeluarkan tahun depan.

Pemohon akan dipanggil menghadiri temuduga dan jika layak mereka akan terus diberi tauliah, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain