suria

Klinik Swasta Keluarkan Pengesahan Kesihatan Kepada Pemohon GDL Dan PSV Dipantau

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengangkutan akan memantau kegiatan beberapa klinik swasta yang didakwa membuat pengesahan kesihatan kepada pemandu bagi mendapatkan Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) dan Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) tanpa perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dengan bayaran serendah RM4.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pihaknya memandang serius perkara itu kerana adalah penting mereka yang diberikan GDL dan PSV adalah sihat dan layak untuk memandu kenderaan awam.

"Kalau kesihatan pemandu tidak diperiksa terlebih dahulu tetapi mereka mendapat sijil kesihatan dengan cop pengesahan dan tandatangan daripada doktor, itu adalah satu perbuatan yang tidak beretika dan doktor tersebut dianggap tidak profesional.

"Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap doktor dan kelinik berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kajian Klinikal Malaysia (CRM) sempena Persidangan Kebangsaan Kajian Klinikal kelima 2011 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini Rabu.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Melayu mengenai tindakan beberapa klinik swasta dikesan memberi pengesahan kesihatan kepada pemandu yang memohon lesen GDL dan PSV tanpa menjalani pemeriksan kesihatan.

Menurut laporan itu, ekoran perbuatan tersebut kemungkinan pesakit kronik seperti mereka yang mempunyai masalah penglihatan, menghidap sawan atau menagih dadah kini memandu kenderaan awam.

Liow berkata pihaknya akan menyiasat terlebih dahulu perkara itu sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap mereka.

"Perkara seperti ini pernah terjadi sebelum ini tetapi didapati ia bukan disebabkan kesalahan doktor, sebaliknya pemandu berkenaan yang meniru atau memalsukan sijil kesihatan yang dikeluarkan klinik swasta," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain