suria

Polis Edar Fotofit Lelaki Simbah Cecair

KUALA LUMPUR: Polis pada Jumaat mengedarkan fotofit seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes menyimbah cecair untuk membolehkan orang ramai mengenalpasti suspek dan membantu pasukan polis memberkas penjenayah tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata fotofit suspek diperoleh berdasarkan lakaran yang diberikan saksi serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Dengan ada fotofit ini kita berharap, orang ramai akan tampil dan membantu kita untuk menangkap penjenayah ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam polis Kuala Lumpur bersama media di sini, Jumaat.

Sementara itu, pada pagi Jumaat satu lagi perbuatan menyimbah cecair berlaku, kali ini mangsanya ialah seorang wanita berusia 30-an di Seksyen 10 Wangsa Maju, di sini.

Dalam kejadian pada pukul 8.45 pagi itu, wanita berkenaan berada di dalam sebuah kereta dan menurunkan cermin kenderaannya sebelum disimbah cecair oleh seorang penunggang motosikal.

Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah, yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Logistik PDRM berkuatkuasa Rabu lepas, berkata wanita tersebut disimbah dengan cecair berkenaan ketika berada di dalam kereta.

Bagaimanapun, cecair itu tidak melecurkan kulit tetapi menyebabkan gatal.

"Polis masih menyiasat sama ada kejadian ini ada kaitan atau persamaan dengan kejadian simbah asid yang dilaporkan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas pertandingan menembak antara media dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis di Jalan Semarak di sini, Jumaat.

Zulkifli berkata setakat ini terdapat 22 kes seumpama itu dan polis akan menyiasat sama ada ia dilakukan oleh individu yang sama atau tidak.

Artikel Lain