suria

Haiwan Melintas Di Jalan Dan Lebuh Raya Antara Punca Kemalangan

KUALA LUMPUR: Permandu kenderaan diingatkan supaya berhati-hati terhadap haiwan yang melintas di jalan serta lebuh raya kerana ini juga merupakan salah satu punca kemalangan yang serius.

Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Datuk Micheal Chong berkata sejak dua tahun lepas, pihaknya menerima enam aduan melibatkan pengguna jalan raya dengan kemalangan berpunca daripada haiwan melintas jalan serta lebuh raya.

"Justeru, syarikat konsesi lebuh raya terutamanya Plus diharap dapat bertindak pantas dan menghalau haiwan yang didapati memasuki lebuh raya bagi mengelakkan berlakunya kemalangan yang tidak diingini," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini, Isnin.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Ee Soon Keong, 37, berkata ketika beliau memandu di KM 154.2, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Pagoh, Johor pada pukul 6.40 petang, 6 Feb lepas, seekor babi hutan dan dua ekor anjing tiba-tiba meluru di hadapannya.

"Akibat itu, saya gagal membrek dan tidak sempat mengelak sebelum melanggar salah seekor anjing dan menyebabkan kerosakan pada bumper bahagian depan kereta selain pecah lampu isyarat kiri," katanya.

Beliau yang merupakan seorang tukang emas berkata abangnya Heng Kiong, 39, juga pernah mengalami nasib hampir serupa dan cedera serius apabila kereta yang dipandunya melanggar seekor lembu di KM 215, Lebuhraya Plus dekat Alor Gajah, Melaka, beberapa tahun lalu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain