suria

Penganut Hindu Mula Banjiri Batu Caves

KUALA LUMPUR: Beratus-ratus penganut agama Hindu sudah membanjiri Kuil Sri Subramaniam Devasthanam, Batu Caves hari ini walaupun perayaan Thaipusam akan disambut pada Khamis.

Tinjauan Bernama mendapati ada pada kalangan mereka sudah tiba di kuil itu seawal 8 pagi untuk membayar nazar lebih awal bagi mengelakkan kesesakan pada hari Khamis.

Elizabeth Sandanasamy, 30, dari Setapak berkata beliau tidak pernah ketinggalam mengikuti perarakan dengan berjalan kaki dan berpandangan sambutan kali ini nampak lebih meriah berbanding tahun sebelumnya.

Bagi Mohanambal, 47, pula, beliau sekeluarga mengikuti perarakan itu saban tahun bermula dari Jalan Tun H.S Lee.

"Kami akan bersama-sama berjalan kaki dari sana, ia boleh dikatakan sebagai rutin pada setiap sambutan Thaipusam," katanya kepada Bernama, di sini pada Rabu.

Lebih 1.5 juta pengunjung dari dalam dan luar negara dijangka membanjiri kuil Sri Subramaniam Devasthanam sempena sambutan Thaipusam kali ini.

Suasana di kawasan sekitar kuil juga meriah dengan kebanjiran gerai-gerai menjual makanan dan minuman serta barangan lain yang turut disertai peniaga Melayu dan Cina.

Bagi Abdul Rahim Taufik, 20, dari Teluk Intan, Perak, perayaan Thaipusam memberi rezeki yang lebih kepadanya.

"Ini kali kedua kami buka gerai di sini. Biasanya kami buka gerai di pasar malam di sekitar Perak. Jadi, melihat sambutan yang baik pada tahun lepas kami buka lagi gerai tahun ini," katanya yang menjual barangan seperti bunga-bungaan, jam tangan dan barang perhiasan.

Selain itu, tidak ketinggalan individu yang melakukan kebajikan dengan memberi makanan secara percuma kepada orang ramai.

S. Magesan yang telah melakukan aktiviti itu sejak 18 tahun lalu, berkata pada tahun ini sebanyak 60,000 bungkus mi goreng akan diedarkan kepada orang ramai.

Katanya,hari ini sebanyak 25,000 bungkus mi goreng akan diedarkan dari tengah hari sehingga malam ini.

Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) juga tidak ketinggalan dengan membekalkan air bersih menerusi tujuh tangki statik yang diletakkan di luar kuil sebagai kemudahan untuk orang ramai sepanjang upacara keagamaan tersebut berlangsung.

Selain tangki statik, Syabas juga membuka kaunter dengan memberi sejumlah 15,000 botol air minuman 500ml dan juga minuman ringan kepada para pengunjung. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain