suria

Dua Remaja Parah Alami Lecur Akibat Terbakar

KANGAR: Dua remaja yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah dengan kesan lecur akibat terbakar, dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian sebuah kereta yang ditemui terbakar di Jalan Raja Syed Alwi, di sini Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Supt Mohd Nashir Ya berkata, polis merumuskan sedemikian berasaskan bukti yang ditemui kira-kira 500 meter dari tempat kereta terbakar itu.

"Kami masih menyiasat kaitan kedua-dua kes ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Mengulas mengenai dua remaja lelaki tersebut, beliau berkata mereka yang berusia 17 dan 19 tahun itu terlebih dahulu dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah di sini dipercayai oleh rakan mereka, sebelum dipindahkan ke HSB.

Remaja berusia 17 tahun itu melecur sehingga 70 peratus dan kini dalam keadaan koma, manakala yang seorang lagi mengalami lecur 30 peratus, katanya.

Menceritakan kedua-dua kejadian itu, Mohd Nashir berkata polis menerima laporan mengenai sebuah kereta terbakar kira-kira pukul 6 pagi dan setengah jam kemudian seorang lelaki membuat laporan bahawa anak lelakinya yang berusia 17 tahun melecur teruk.

Siasatan kemudian mendapati dua remaja lelaki dengan kesan lecur telah dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, katanya.

Mohd Nashir berkata pihaknya sedang mengenal pasti rakan yang menghantar kedua-dua remaja tersebut ke hospital berkenaan.

Kes disiasat Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat. - BERNAMA

Artikel Lain