suria

Anggota Trafik Cedera Di Leher Terlibat Dalam Kemalangan

KUALA TERENGGANU: Seorang anggota polis trafik berpangkat Koperal cedera di bahagian leher setelah terjatuh dalam kemalangan jalan raya semasa mengadakan operasi di Jalan Semarak, Gong Badak di sini kira-kira 11.45 pagi ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata Koperal Robuan Ahmad, 51, yang bertugas di balai polis Kuala Terengganu mengalami cedera di bahagian leher apabila tertusuk sebatang kayu semasa jatuh di tepi jalan berkenaan.

"Kejadian berlaku semasa Robuan bersama beberapa anggota lain untuk mengadakan operasi di kawasan Gong Badak terserempak dengan seorang penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar dan motosikalnya tiada nombor plat.

"Robuan cuba menghalang penunggang berkenaan bagaimanapun terjatuh setelah bergesel dengan motosikal lelaki itu dan lehernya cedera terkena sebatang kayu," katanya ketika melawat mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Jamshah berkata dalam kejadian itu, lelaki berkenaan meloloskan diri dengan memecut motosikalnya.

Bagaimanapun katanya polis telah mengenalpasti butir-butir peribadi suspek seperti nama dan tempat tinggalnya dan akan membuat tangkapan sedikit masa lagi.

Sementara itu seorang anggota polis dari Balai Batu Rakit, Konstabel Md Rudzki Mohd Rozlan, 23, yang tertembak oleh senjata api rakannya sendiri pada Khamis lepas, kini beransur pulih.

"Saya jangka dalam sehari dua lagi keadaan Md Rudzki bertambah baik. Doktor telah mengeluarkan darah beku di kepalanya," kata beliau.

Jamshah berkata polis juga akan mengadakan majlis tahlil dan Solat Hajat memohon anggota berkenaan cepat sembuh.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain