suria

Tuntutan Ganti Rugi Roslin Hashim Diteruskan

KUALA LUMPUR: Permohonan tuntutan ganti rugi bernilai RM53,460 yang difailkan oleh pemain badminton negara, Roslin Hashim terhadap bekas isteri pertamanya, Faizah Mohamad akan diteruskan pada Januari depan.

Mahkamah Rayuan Syariah di sini pada Rabu, memerintahkan supaya kes diteruskan selepas panel tiga hakim sebulat suara menolak permohonan Faizah, 33, untuk mendapatkan kebenaran bagi memfailkan rayuan melebihi tempoh masa.

Tiga panel hakim tersebut dipengerusikan oleh Hakim Syarie, Tan Sri Ibrahim Lembut yang bersidang bersama Hakim Syarie, Datuk Mohd Yusup Che Teh dan Hakim Syarie, Datuk Hussin Harun.

Pada penghakiman yang dibacakan oleh Mohd Yusup, mahkamah berpendapat Faizah telah cuai dalam memilih forum yang tepat untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak bantahan awalnya terhadap tuntutan itu.

Ini ekoran tindakan peguam syarie Mohd Amir Nazli Hussin yang mewakili wanita bertubuh kecil itu memfailkan permohonan semakan kehakiman, sedangkan ia sepatutnya difailkan sebagai permohonan rayuan.

“Kami tidak ragu-ragu untuk merumuskan bahawa pemohon (Faizah) telah cuai dalam memilih proses yang tepat,” kata Mohd Yusup.

Mahkamah juga tidak dapat menerima alasan bahawa tiada garis panduan yang jelas mengenai prosuder yang tepat memandangkan perkara itu telah dinyatakan pada arahan amalan Mahkamah Syariah dan perlu diketahui oleh pengamal undang-undang.

“Mahkamah berpendapat alasan yang diberikan oleh pemohon adalah tidak mencukupi untuk dipertimbangkan,” katanya.

Pada prosiding Rabu, Roslin, 35, hadir berseorangan manakala Faizah ditemani ahli keluarga.

Semasa ditemui, peguam syarie Roslizam Rahim yang mewakili Roslin memberitahu, kes itu akan disebut di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 11 Januari depan.

Roslin memfailkan tuntutan ganti rugi pada Oktober 2009 bagi menuntut perbelanjaan yang dikeluarkannya dalam perkahwinan yang dibina pada 30 Januari 2009.

Bagaimanapun, rumah tangga pasangan itu hanya bertahan selama 12 hari selepas Roslin melafazkan cerai yang disahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, dekat sini pada 12 Mei 2009.

Roslin kemudiannya melangsungkan perkahwinan kedua dengan Pengarah Pemasaran dan Promosi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Nurhayati Othman, 39, pada 9 Julai lalu.

Perkahwinan itu juga hanya bertahan untuk jangka masa pendek, iaitu 28 hari selepas Roslin melafazkan cerai pada 7 Ogos lalu di bilik 533, Hotel Corus, Jalan Ampang, di sini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain