suria

Program Latihan Kemahiran 1Malaysia Bantu Tingkatkan Daya Saing

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Program Latihan Kemahiran 1Malaysia yang akan bermula tahun depan bakal menyediakan peluang kepada masyarakat untuk mempelajari pelbagai kemahiran baru yang akan membolehkan mereka terus berdaya saing dan menjana pendapatan lebih baik.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Hou Kok Chung berkata program yang dilaksanakan di bawah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi membolehkan masyarakat menyertai pelbagai kursus jangka pendek yang akan disediakan di kolej komuniti di kawasan mereka, tanpa sebarang bayaran.

"Program ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur termasuk pelajar yang sedang menunggu keputusan peperiksaan untuk mempelajari pelbagai kemahiran.

"Kursus pendek ini termasuk dalam bidang kemahiran seperti bakeri, memasang paip, mendandan rambut dan lain-lain, dan juga bidang bahasa seperti bahasa Mandarin, Tamil, Melayu, Iban, Kadazan dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas melancarkan Binary-Chinese Independent Schools Scholarship, di Puchong dekat sini, Jumaat.

Bagi melaksanakan program itu kerajaan memperuntukkan RM200 juta dan dilaksanakan dengan kerjasama lebih 60 kolej komuniti seluruh negara.

Bagi kawasan yang tiada kolej komuniti, kata Hou kementerian bercadang untuk menyewa bangunan bagi membolehkan masyarakat di kawasan berkenaan mempelajari kemahiran-kemahiran yang mereka perlukan.

"Kalau di satu kawasan itu tiada kolej komuniti dan ada sambutan kita akan sewa bangunan, bagaimanapun perlu cukup peserta sekurang-kurangnya 15 orang baru boleh kita adakan kursus tersebut," katanya.

Katanya selepas peserta terbabit berjaya menamatkan kursus diambil, mereka akan diberikan Sijil Kemahiran Malaysia peringkat satu yang boleh membantu meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain