suria

Pemilihan Remaja Sertai PLKN Dibuat Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pemilihan remaja untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dibuat secara rawak iaitu dengan menggunakan komputer berdasarkan rekod remaja di Jabatan Pendaftaran Negara tanpa mengira status mereka.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (LKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata daripada 508,000 yang lahir di negara ini pada tahun 1993, hanya 104,000 yang akan dipilih menyertai PLKN untuk sesi tahun depan.

Beliau berkata demikian kepada Bernama apabila ditanya mengenai Siti Khadijah Mohd Zulkifli yang dilahirkan pada tahun 1993 dan cacat turut terpilih untuk menyertai program PLKN tahun hadapan.

"Sesiapa sahaja akan dipilih menerusi cara itu. Mereka yang merasakan tidak mampu untuk menyertai PLKN boleh membuat rayuan menerusi borang yang disertakan bersama notis panggilan pelatih dan kemudian menghantarnya kepada JLKN," katanya.

Beliau berkata 10 sebab pengecualian diberikan kepada mereka yang telah dipilih mengikuti PLKN, antaranya cacat, ditahan dalam penjara dan mengalami penyakit yang sukar sembuh.

Abdul Hadi berkata mereka yang tidak terpilih untuk mengikuti PLKN tahun depan, dan ingin menyertainya boleh membuat rayuan kepada JLKN dan boleh melayari laman web JLKN di www.khidmatnegara.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Milik AKIM

Artikel Lain