suria

Persatuan PKS Anjur Persidangan Transformasi Ekonomi PKS

KUALA LUMPUR: Persatuan SMI Malaysia yang memperakui pentingnya sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terhadap ekonomi, akan menganjurkan Persidangan Trnafromasi Ekonomi PKS 2010 pada 30 Sept, bagi membantu mengubah cara PKS menjalankan perniagaan.

Tema tahun ini ialah "Mengubah PKS, Meningkatkan Rangkaian Nilai".

Presiden Kebangsaan SMI, Chua Tiam Wee berkata persidangan itu akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra sempena Pameran Penyelesaian Sehenti SMI 2010 (SMIOSS 2010) dari 30 September hingga 2 Oktober.

"Menerusi proses transformasi, kami berharap PKS akan berupaya meningkatkan sumbangan mereka terhadap keluaran dalam negata kasar kepada 50-60 peratus pada 2020 seperti di negara maju.

"Dengan PKS disasar oleh kerajaan untuk menjadi pemacu pertumbuhan pelaburan domestik swasta dengan sasaran pertumbuhan tahunan sebanyak 12.8 peratus, peningkatan akses dan kesediaan pembiayaan untuk pertumbuhan PKS sangat penting," katanya pada pelancaran media persidangan dua hari itu di sini, Selasa.

Chua berkata persatuan itu juga akan menganjurkan Persidangan PKS Kebangsaan 2010 pada 1 Okt untuk memberikan maklumat terkini mengenai skim pembiayaan baharu kerajaan dan institusi perbankan seperti Skim Jaminan Modal Kerja, pinjaman mudah baharu dan dana modal teroka.

Beliau berkata persidangan itu juga akan membantu PKS mendapat maklumat dan panduan mengenai cara untuk melengkapkan diri untuk memperoleh keperluan pembiayaan masing-masing.

Jawatankuasa penganjur menjangkakan dapat menarik sekurang-kurangnya 500 peserta untuk setiap persidangan itu, manakala untuk pameran SMIOSS, ia menyasarkan 280 peserta, dengan sekurang-kurangnya 30 peratus dari luar negara, serta 15,000 pengunjung.

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai yang merasmikan pelancaran media sebelum itu, berkata kerajaan sentiasa memastikan persekitaran mesra perniagaan dan ekonomi yang dipacu oleh eksport sebagai pemacu utama pertumbuhan.

Beliau berkata kerajaan, menerusi Bank Negara Malaysia dan SME Corp, melaksanakan pelbagai program pembangunan PKS dan skim yang meliputi pembangunan kapasiti, bantuan kewangan, inisiatif pembangunan pasaran dan memudahkan eksport dan pembangunan jenama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain