suria

Muhyiddin Mahu Rundingan Penstrukturan Semula Bekalan Air Dimuktamadkan Segera

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap semua negeri yang belum memuktamadkan rundingan penstrukturan semula bekalan air agar berbuat demikian dengan segera.

Beliau berkata segala inisiatif yang diambil oleh kerajaan persekutuan dalam penstrukturan semula industri bekalan air adalah bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatannya demi kepentingan pengguna di seluruh negara.

"Bukti yang jelas dapat dilihat di negeri-negeri yang terlebih dahulu berhijrah ke rejim pelesenan baru iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

"Sejajar dengan fokus kerajaan pusat untuk menyediakan khidmat yang berkualiti, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bersama-sama syarikat air negeri kini sentiasa memastikan keperluan air negeri yang terbabit dijaga dengan terperinci," katanya pada majlis menandatangani perjanjian penstrukturan semula bekalan air negeri Perlis di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perlis Datuk Seri Md Isa Sabu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Noriah Kasnon dan Pengerusi PAAB Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

Muhyiddin berkata projek seperti Penyaluran Sumber Air ke Estet Rembia dan Loji Rawatan Air Bertam Baru sedang giat dilaksanakan di Melaka bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Di Negeri Sembilan pula kerja peningkatan kapasiti Loji Air Kuala Jelai dan Talang sedang dilaksanakan manakala projek pembesaran Loji Air Semangar dan kerja memperbaiki pengagihan air di Endau, Mersing sedang giat dilaksanakan di Johor.

"Jelas sekali bahawa penghijrahan syarikat air negeri-negeri ke rejim baru di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta IPA) telah banyak mendatangkan faedah kepada kerajaan negeri dan rakyat," katanya.

Mengenai perjanjian itu, Muhyiddin berkata ia melibatkan pengambilalihan aset air kerajaan negeri Perlis yang bernilai RM203 juta oleh PAAB, dan sebagai balasan, PAAB akan mengambil alih liabiliti air kerajaan negeri itu.

Dengan itu, kerajaan Perlis, yang merupakan negeri keempat yang berhijrah ke rejim pelesenan baru, tidak perlu lagi membayar balik pinjaman berkenaan kerana segala tanggungan kini dipikul oleh PAAB.

Beliau berkata PAAB seterusnya akan menyewa pajak aset air ini kepada Syarikat Air Perlis Sendirian Berhad (SAP) dengan kadar tiga peratus setahun bagi aset sedia ada dan empat peratus setahun bagi aset baru yang akan disemak semula setiap tiga tahun.

"SAP yang dimiliki 100 peratus oleh kerajaan negeri Perlis merupakan entiti baru berikutan pengkorporatan Bahagian Bekalan Air Jabatan Kerja Raya Perlis dan akan diberikan lesen di bawah Akta IPA untuk meneruskan tanggungjawab menyediakan perkhidmatan bekalan air seluruh Perlis," katanya.

Muhyiddin berkata perjanjian itu juga melibatkan pemindahan hak milik tiga loji rawatan air, 12 kolam takungan air, 10 tangki air, satu stesen booster dan paip air bersih sepanjang 1,794 kilometer daripada kerajaan negeri Perlis kepada PAAB.

Beliau berkata sebanyak 55 peratus daripada jumlah paip air bersih tersebut adalah daripada paip jenis asbestos yang merupakan salah satu punca sumbangan Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang agak tinggi di Perlis iaitu 44.7 peratus tahun lalu.

"InsyaAllah dengan penstrukturan ini, kita akan berusaha menurunkan kadar ini secara terancang dan berperingkat-peringkat," katanya.

Muhyiddin berkata penghijrahan kerajaan negeri Perlis ke rejim baru industri air negara adalah tepat pada masanya kerana PAAB telah menyediakan bajet berjumlah RM24 juta untuk Perlis tahun ini, bagi menampung pertambahan permintaan air dan juga pelaksanaan program bagi mengurangkan NRW.

Beliau berkata ia pasti dapat mengelakkan berlakunya krisis bekalan air negeri Perlis dan pada masa yang sama melepaskan kerajaan negeri dari segi beban kewangan yang perlu ditanggung selama ini dalam menyediakan infrastruktur air.

Kerajaan memulakan proses merealisasi era baru perkhidmatan air negara sejak Januari 2005 dengan meminda Perlembagaan Persekutuan di mana perkara berkaitan bekalan dan perkhidmatan air dipindahkan dari Senarai Negeri ke Senarai Bersama.

Mulai 1 Jan 2008, segala operasi perkhidmatan bekalan air yang dijalankan oleh pihak berkuasa air negeri dan syarikat-syarikat konsesi air di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan Labuan akan dikawal selia secara seragam oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berdasarkan Akta IPA.

Transformasi itu diperkenalkan bagi membantu mengatasi masalah pembiayaan bagi memodenkan infrastruktur bekalan air dan peningkatan kos operasi yang dihadapi oleh pembekal perkhidmatan air kerana hasil yang diperoleh tidak mencukupi untuk menampung kos secara penuh, di samping halangan memperoleh dana dari pasaran modal terbuka. - BERNAMA

Artikel Lain