suria

"Ada 'Dalang' Di Sebalik Pemecatan Saya Daripada DAP" - Boon Hock

PELABUHAN KLANG: Ahli Majlis Perbandaran Klang yang kontroversi, Tee Boon Hock yang telah dipecat daripada DAP oleh jawatankuasa disiplin parti itu mendakwa terdapat 'dalang' di sebalik keputusan pemecatan beliau.

“Benar, jawatankuasa disiplin DAP telah bertindak terburu-buru dengan membuat keputusan tidak matang,” katanya pada Ahad.

“Tindakan sedemikian terhadap saya disifatkan keterlaluan dan tidal adil. Saya percaya terdapat dalang di sebalik pemecatan saya daripada DAP terutama dengan pilihanraya parti akan datang. Ia mungkin disebabkan beberapa pihak mahu saya keluar daripada laluan mereka.”

“Rakyat perlu memahami tuduhan berkenaan melibatkan majlis tempatan dan siasatan di bawah skop jabatan audit negeri. Jadi, ia di bawah pentadbiran negeri dan bukan di bawah parti DAP,” katanya.

Beliau menambah, parti DAP sepatutnya menunggu sehingga hasil siasatan daripada kerajaan negeri.

Boon Hock didakwa kerana menyalahgunakan kepala surat exco Selangor, Ronnie Liu bagi mendapatkan kontrak untuk keluarga dan kroninya telah dipecat daripada DAP pada Sabtu.

Pada 27 Julai lalu, ahli veteran DAP itu didakwa kerana mendapatkan kontrak bernilai lebih RM1 juta untuk 20 syarikat daripada majlis perbandaran tempat beliau berkhidmat sejak Julai 2008.

Liu dilaporkan mengesahkan terdapat penyalahgunaan kepala surat itu dan Tee kini disiasat oleh parti DAP.

Berdasarkan surat pemecatannya yang dialamatkan kepada Boon Hock, jawatankuasa disiplin itu berkata, pihak terbabit telah mengkaji dokumen-dokumen yang diterima dan mengenal pasti terhadap asas pertuduhan.

Boon Hock turut berkata, beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan membuat rayuan atau tidak.

Sementara itu, sekumpulan penyokong Tee berhimpun di luar pejabat DAP Pandamaran bagi memprotes pemecatan ahli MPK itu.

Mereka membawa pelbagai sepanduk yang menyifatkan keputusan pemecatan itu tidak adil.

Bagaimanapun, kumpulan terbabit bersurai selepas 30 minit.

Artikel Lain