suria

Muhyiddin Pelawa Syarikat Korea Melabur Di Malaysia

SEOUL: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Isnin mempelawa syarikat-syarikat Korea Selatan agar melabur dalam pelbagai sektor termasuk teknologi hijau, perkhidmatan kewangan Islam, pengembaraan kesihatan dan aktiviti-aktiviti berkaitan minyak dan gas di Malaysia.

Beliau berkata dengan berbuat demikian, syarikat-syarikat ini akan membantu Korea Selatan dan Malaysia untuk sama-sama menikmati kejayaan ekonomi dalam tempoh jangka panjang.

"Saya sekali lagi ingin mengulangi yang pelaburan Korea Selatan amat penting kepada kejayaan ekonomi Malaysia.

"Saya gesa agar anda melabur dan menjalankan lebih banyak perniagaan dengan kami," kata beliau dalam ucapannya di mesyuarat meja bulat anjuran Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan para pemimpin industri Korea Selatan di sini.

Seramai 14 Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat-syarikat utama Korea Selatan menghadiri mesyuarat itu. Kumpulan ini diketuai oleh Presiden Samsung Group Malaysia, Datuk Lee Sang-Bai, yang juga merupakan Pengerusi Dewan Perdagangan Korea Selatan Malaysia.

Turut hadir ialah Lee Hee-Bom, Pengerusi dan Presiden STX Energy and STX Heavy Industries, Chi Chang-Hoon, Presiden Korean Air, Park Chan-Koo, Pengerusi dan CEO Kumho Petrochemical, Hong Young-Chul, Pengerusi KISWIRE Group dan Dr Kwon Hyong-Key, Pengerusi Halla Energy and Environment Ltd.

Muhyiddin, yang berada di sini untuk lawatan rasmi empat hari, bermula Isnin berkata, hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan telah meningkat dengan Korea Selatan merupakan rakan dagang keenam terbesar dan pelabur asing ketujuh terbesar di Malaysia pada tahun 2009.

Pelaburan Korea Selatan dalam pelaksanaan projek-projek pembuatan bernilai sehingga US$2.62 bilion pada 2009 dengan pelaburan diluluskan mengukuh lebih daripada 130 peratus kepada US$133.2 juta.

Pelaburan itu turut menyediakan peluang-peluang pelaburan untuk lebih daripada 42,000 orang di Malaysia.

Selain daripada pelaburan dalam projek hijau, beliau berkata Malaysia turut menyaksikan lonjakan besar minat oleh syarikat-syarikat Korea Selatan dalam aktiviti penggabungan dan pengambilalihan di dalam negara pada separuh pertama 2010.

Beliau berkata, baru-baru ini, SK Telecom telah melabur US$100 juta untuk mengambilalih 25.8 peratus kepentingan dalam PACKET ONE Networks, anak syarikat Green Packet Berhad yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Pada masa yang sama, beliau menambah yang Honam Petrochemical, sebahagian daripada konglomerat Korea Selatan, Lotte Group, menguasai 72.3 peratus kepentingan bernilai US$918 juta dalam Titan Chemical Corporation yang turut tersenarai di Bursa Malaysia.

Beliau memaklumkan yang kedua-dua pelaburan besar oleh syarikat-syarikat Korea Selatan itu menunjukkan kemasukan konglomerat Korea di Malaysia, selain daripada Samsung.

Samsung, pelabur terbesar Korea di Malaysia, telah beroperasi di dalam negara sejak tahun 1979.

Muhyiddin juga berkata pelaburan persendirian memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia dan ia memudahkan sektor memacu pertumbuhan menerusi dasar dan insentif untuk menarik lebih banyak pelaburan asing.

"Pelaburan persendirian mesti berkembang pada US$36 bilion atau 12.8 peratus setahun dalam tempoh lima tahun jika kita dapat mencapainya," jelas beliau sambil menambah Malaysia akan memastikan persekitaran meluas sesuai untuk menyokong nilai ekonomi yang tinggi.

Beliau juga berkata Malaysia menyedari yang dalam ekonomi global yang kian berdaya saing, menarik tambahan pelaburan asing langsung (FDI) menjadi kian mencabar.

Justeru itu, sementara Malaysia terus menggalakkan pelaburan asing langsung atau pelaburan semula dalam sektor-sektor kukuh tradisinya seperti elektronik dan industri berasaskan sumber, ia turut berusaha menarik pelaburan baharu dalam sektor-sektor pembuatan dan perkhidmatan, tambah beliau.

Pelaburan itu termasuklah aktiviti nilai tinggi dan inovasi berimpak tinggi seperti tenaga diperbaharui terutamanya industri solar, bioteknologi, ICT, bahan canggih dan aeroangkasa serta perkhidmatan dalam kewangan Islam, pendidikan dan logistik bersepadu.

Sambil menggesa agar syarikat-syarikat Korea Selatan mengambil peluang daripada inisiatif dasar baharu dan hala tuju Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesepuluh, beliau berkata Malaysia telah bersedia untuk melaksanakan tranformasi terancang yang hebat yang diperlukan oleh ekonomi berpendapatan tinggi.

"Modal insan perlu diperbaiki menerusi peluang pendidikan yang dipertingkatkan dan pembangunan kepakaran.

"Kerajaan perlu ditransformasikan menjadi fasilitator yang berkesan dan menyebarluaskan pembaharuan perundangan dan peraturan yang perlu bagi memudahkan perniagaan dan aktiviti ekonomi," tegas beliau.

Muhyiddin turut memaklumkan para hadirin yang kerajaan Malaysia kekal komited untuk meningkatkan persekitaran pelaburan negara memandangkan ia pada masa ini berada pada peringkat tertinggi perindustrian.

Beliau berkata era globalisasi dan liberalisasi perdagangan telah menyaksikan beberapa perkembangan penting yang memerlukan negara menjadi lebih fleksibel dan kreatif.

"Dalam persekitaran perniagaan baharu ini, terdapat banyak ketidaktentuan. Malaysia kini sedang menangani cabaran ekonomi dengan membangunkan dasar yang menjuruskan kepada tenaga kerja yang lebih kreatif dan cekap," tambah beliau.

Muhyiddin juga berkata langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan sejak dua tahun lepas, telah membantu meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global dan ia telah memberi manfaat hasil daripada pelaksanaan dasar yang cekap dari segi prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan dan perniagaan serta infrastruktur.

Dari sudut hubungan insan, Muhyiddin berkata Malaysia dan Korea Selatan telah mewujudkan hubungan yang amat rapat dan mesra sejak 50 tahun lepas.

Beliau berkata rancangan sedang dirangka untuk lawatan Presiden Korea Selatan ke Malaysia pada akhir tahun dan Perdana Menteri Malaysia akan membalas lawatan itu tahun depan.

Beliau turut mengumumkan syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, AirAsia akan memulakan operasi antara Seoul dan Kuala Lumpur pada bulan November tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain