Kerajaan Selaraskan Harga Subsidi Untuk Masa Depan Malaysia - Semasa | mStar

Kerajaan Selaraskan Harga Subsidi Untuk Masa Depan Malaysia

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan bahawa subsidi bahan api, khususnya petrol, diesel dan petroleum gas cecair (LPG), serta gula, akan dikurangkan sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat berkuat kuasa esok.

Subsidi bagi RON 95 dan diesel akan dikurangkan sebanyak 5 sen seliter manakala LPG dikurangkan sebanyak 10 sen sekilogram, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, ini bermakna petrol RON 95 dijual pada RM1.85 seliter manakala LPG berharga RM1.85 sekilogram.

"RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik.

Najib berkata, penggunaan RON 97 hanya membabitkan 13 peratus daripada penggunaan bahan api di Malaysia.

"Bagi gula, pelarasan harga ialah sebanyak 25 sen sekilogram," katanya.

Menurut Najib kenyataan itu, perubahan minimum itu akan membantu Malaysia mencapai kedudukan tanggungjawab fiskal dan meletakkan negara pada kedudukan untuk mengurangkan defisit.

"Bagi memenuhi objektif ini, kerajaan membuat pelarasan terhadap subsidi.

Walaupun telah membuat perubahan ini, kerajaan masih membelanjakan kira-kira RM7.82 bilion untuk subsidi bahan api dan gula pada 2010. Harga bahan api dan gula di Malaysia masih antara yang terendah di rantau ini," katanya.

Berdasarkan anggaran, rasionalisasi subsidi ini membolehkan Malaysia mengurangkan perbelanjaan melebihi RM750 juta pada 2010.

Keputusan mengurangkan subsidi bahan api dan gula adalah berasaskan pada hakikat bahawa pengurangan subsidi bahan api akan memberi impak terbesar ke atas perbelanjaan manakala pengurangan subsidi gula pula membolehkan kerajaan mempromosi gaya hidup sihat.

Menurut Perdana Menteri, keputusan itu adalah berasaskan tiga perkara penting.

Pertama, subsidi itu turut memberi manfaat kepada rakyat asing dan golongan rakyat tempatan yang berpendapatan tinggi, yang mampu membayar harga tanpa subsidi.

Tumpuan kerajaan sepatutnya membantu keluarga yang berkongsi motosikal atau Kancil untuk ke tempat kerja dan sekolah, tetapi sebaliknya perbelanjaan subsidi turut memberi manfaat kepada mereka yang memandu kereta mewah, katanya.

Subsidi gula yang berlebihan pula memberi manfaat kepada industri dan bukan keluarga. Sektor perniagaan menggunakan hampir dua kali ganda gula bersubsidi berbanding isi rumah.

Kedua, barangan bersubsidi tinggi menjurus kepada aktiviti penyeludupan kerana barangan terbabit berharga paling murah di rantau ini.

Pada 2009 sahaja, Najib berkata penyeludup membawa keluar lebih 200 tan metrik gula merentas sempadan.

"Diesel terus diseludup dan dijual secara haram di negara jiran dan bukan memberi manfaat kepada golongan yang kita mahu bantu," kata Perdana Menteri.

Ketiga, kecuali kerajaan mengurangkan penggunaan bahan api dan gula, negara akan menghadapi kesan yang serius.

Najib berkata, kerajaan membuat keputusan ini selepas mengadakan perundingan dengan rakyat.

Beribu-ribu rakyat Malaysia mengambil bahagian pada Hari Terbuka Makmal Dasar dalam proses mendapatkan maklum balas, yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Bagi reformasi subsidi, bajet, Program Transformasi Kerajaan dan kini Bidang NKEA, kerajaan melibatkan orang ramai, mendengar dan belajar, dan bertindak, mengikut keutamaan negara," katanya. Beliau berkata langkah ini dilaksanakan supaya ia hanya memberi impak yang minimum ke atas keluarga, dan pada masa yang sama memberi manfaat jangka panjang kepada negara.

"Kerajaan membuat keputusan yang sukar, namun berani," kata Najib.

Dengan memilih untuk melaksanakan reformasi subsidi ini, kerajaan mengambil langkah penting dan tepat dalam memenuhi komitmennya untuk mengurangkan defisit fiskal, tanpa membebankan rakyat Malaysia, kata Najib.

Perdana Menteri berkata, langkah ini akan meningkatkan kestabilan kewangan Malaysia dan pada masa yang sama melindungi rakyat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

Artikel Lain