suria

42 Ditahan Kes Curi Pasir Di Empat Negeri

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 42 orang setakat 11 Mei lepas kerana terlibat dalam sindiket kecurian pasir di empat buah negeri, demikian menurut Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).

JKMR dalam Laporan Tahunan 2009 menyebut perkara itu terkandung dalam penjelasan SPRM dalam pertemuan dengan jawatankuasa itu pada 11 Mei lepas.

Menurut laporan itu, 12 orang ditahan di Selangor, 11 di Johor, 10 di Pahang dan sembilan di Perak.

Sebanyak 22 pertuduhan telah dibuat di mahkamah berhubung kes itu yang disifatkan sebagai amat serius kerana mengakibatkan kerugian berbilion ringgit kepada kerajaan.

"SPRM merasa kesal dan kecewa kerana isu itu telah dipolitikkan oleh pihak tertentu bagi mewujudkan persepsi seolah-olah SPRM bertindak secara pilih kasih," kata laporan itu.

Selain itu, JKMR yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, berharap SPRM memfokuskan kes-kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam kerana ia merupakan harapan masyarakat setelah dinaikkan taraf kepada Suruhanjaya.

Jawatankuasa itu berkata SPRM perlu sentiasa dilihat bertindak "tanpa gentar dan pilih kasih" dalam menangani kes-kes rasuah tanpa kompromi.

"Tindakan ini adalah penting untuk menghasilkan impak pencegahan yang bukan sahaja proaktif malahan berkesan dalam jangka masa yang panjang," menurut laporan tersebut yang diedarkan kepada semua Anggota Parlimen di Dewan Rakyat semalam.

Laporan itu mendedahkan bahawa kebelakangan ini, terdapat banyak kes perbicaraan rasuah yang berprofil tinggi dan berkepentingan awam tidak memihak kepada SPRM terutamanya di peringkat Mahkamah Rendah.

"Ini berdasarkan trend di mana kadar sabitan kes di peringkat Mahkamah Rendah pada tahun lepas adalah 64.4 peratus, namun kadar sabitan kes di peringkat mahkamah yang lebih tinggi adalah lebih baik di mana kadar sabitan di Mahkamah Rayuan mencapai tahap 86.2 peratus," kata laporan itu.

Mengenai keperluan pertambahan keanggotaan, JKMR mahu kerajaan mempertimbangkan segera untuk menambah bilangan pegawai penyiasat dan Timbalan Pendakwa Raya memandangkan SPRM mempunyai anggota yang terhad sehingga menyukarkan tugas secara berkesan kerana senario jenayah rasuah masa kini semakin rumit dan sofistikated.

Laporan itu menyebut pada tahun 2008, SPRM telah dijanjikan pertambahan keanggotaan Pegawai Suruhanjaya seramai 5,000 orang, namun untuk tahun ini, hanya 33 pertambahan jawatan sahaja yang telah diperoleh oleh SPRM setakat ini.

"Sebagai perbandingan, nisbah Pegawai Independent Commission Against Corruption (ICAC) Hong Kong berbanding penduduk Hong Kong adalah lebih kurang 1:7,322 manakala nisbah pegawai Suruhanjaya berbanding penduduk Malaysia adalah lebih kurang 1:15,225," kata laporan itu.

Selain itu, JKMR turut memohon supaya kerajaan mempertimbangkan tambahan peruntukan kepada SPRM, termasuk yang melibatkan peruntukan bayaran elaun lebih masa untuk pegawai penyiasat yang terpaksa bekerja sehingga di luar waktu pejabat. - BERNAMA

Artikel Lain