suria

Mahkamah Dengar Permohonan Subramaniam Pada 19 Ogos

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar pada 19 Ogos permohonan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam bagi perintah injunksi sementara untuk menghalang sebuah akhbar bahasa Tamil daripada menerbitkan semula perkataan fitnah terhadap beliau.

Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Hilmiah Yusof selepas kes itu disebut di hadapannya hari ini.

Peguam P. Paari mewakili Subramaniam manakala J. Chandra mewakili defendan. Chandra memberitahu media bahawa kedua-dua pihak perlu menfailkan hujahan bertulis berhubung permohonan perintah injunksi itu pada 5 Ogos ini.

Beliau berkata, Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Zabariah Mohd Yusof akan mendengar permohonan itu.

Pada 7 Jun lepas, Subramaniam menfailkan saman itu terhadap penerbit akhbar Makkal Osai, Makkal Osai Sdn Bhd, pencetak akhbar itu FKZ Printing Sdn Bhd, wartawannya K. Devandran dan bekas pengerusi MIC bahagian Petaling Jaya Selatan V. Subramaniam kerana menerbitkan perkataan fitnah dalam tiga artikel dengan tajuk yang membawa maksud "Mengapakah Dr S. Subramaniam Bersikap Talam Muka Dua" di akhbar itu.

Subramaniam berkata, artikel itu yang bertarikh pada 24, 25 dan 29 Mei lepas diterbitkan selepas hari pencalonan bagi pilihan raya kecil Hulu Selangor, yang ketika itu berlakunya desakan untuk Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu meletak jawatan.

Subramaniam, dalam pernyataan tuntutannya berkata, defendan dengan niat jahat telah memulakan serangan akhbar terhadapnya dengan menuduhnya menyokong Samy Vellu.

Artikel itu yang mengandungi perkataan fitnah telah diedarkan di seluruh negara, antara lain membawa maksud beliau adalah seorang ahli politik yang tidak jujur kerana tidak mahu mempertahankan kebenaran dan menyokong segala kesalahan Samy Vellu, katanya.

Subramaniam mendakwa artikel itu juga bermaksud beliau seorang penipu kerana memberikan kenyataan bahawa tidak ada masalah dalam parti MIC.

Beliau memohon ganti rugi am, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah dan juga perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada menerbitkan semula artikel itu. - BERNAMA

Artikel Lain