suria

Pendidikan Formal Umur Lima Tahun Dijangka Akhir RMK-10 - Dr Mohd Puad

HULU TERENGGANU: Sistem pendidikan formal seawal usia lima tahun dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada peringkat akhir Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata ia terpaksa dilaksanakan secara beperingkat kerana kementerian perlu menyediakan prasarana dan kemudahan yang diperlukan terlebih dahulu.

"Ia rancangan besar dan tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa. Peringkat awal RMK-10 akan dimulakan dengan penyediaan prasarana asas seperti bilik darjah dan melantik guru bertauliah.

"Ia usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara setaraf dengan negara-negara maju. Ia juga bertujuan mengelak keciciran dari peringkat awal lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan wang pendahuluan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dan sumbangn kecemerlangan peperiksaan awam Parlimen Hulu Terengganu 2010, di sini, hari ini.

Pelaksanaan sistem persekolahan formal seawal usia lima tahun terkandung dalam RMK-10 (2011-2015) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis lalu.

Mohd Puad berkata tumpuan Kementerian Pelajaran kini adalah kepada usaha membangunkan kemudahan asas di sekolah-sekolah di seluruh negara selain memastikan semua guru prasekolah terdiri daripada mereka yang mempunyai ijazah.

"Di kawasan luar bandar seperti di Sabah dan Sarawak yang tidak ada kemudahan untuk pelajar prasekolah, anak-anak kecil terpaksa berpisah dengan ibu bapa.

"Ada di antara ibu bapa yang terpaksa tumpangkan anak masing-masing di asrama desa dengan hanya dijaga abang atau kakak kanak-kanak itu. Untuk kawasan terpencil di dua negeri itu, kerajaan akan membina kemudahan prasekolah di rumah-rumah panjang," katanya.

Katanya kerajaan mensasarkan 70 peratus kanak-kanak memasuki prasekolah seluruh negara pada tahun 2012. - BERNAMA

Artikel Lain