suria

SMK St John Diiktiraf Tapak Warisan Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Sekolah Menengah Kebangsaan St John atau lebih dikenali sebagai St John's Institution adalah sekolah harian kedua di negara ini yang diberi pengiktirafan sebagai warisan kebangsaan.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang berkata, antara kriteria SMK St John dijadikan warisan kebangsaan adalah usia sekolah itu yang mencapai 106 tahun sejak dibuka pada 18 Jan 1904.

"Selain itu, sejak penubuhannya, sekolah itu telah berkembang sebagai institusi pendidikan yang penting dalam sejarah pendidikan negara, selain melahirkan tokoh ternama negara termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan SMK St John sebagai tapak warisan kebangsaan di sekolah itu di sini, hari ini.

Selain Najib, Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz adalah bekas pelajar sekolah itu.

"Dengan pengisytiharan tapak ini sebagai tapak warisan, kita percaya apa yang kita lihat berkenaan dengan bangunan, tapak-tapak yang ada di atas Bukit Nanas ini akan dipelihara dan akan dilindungi oleh Akta Warisan.

"Kita juga akan melihat kalau-kalau ada sebahagian dari bangunan yang perlu dipelihara, kita akan cari jalan supaya ia boleh dipelihara agar warisan kita akan berkekalan," kata Salang.

Beliau berkata, sehingga kini lebih 70 bangunan telah diberi pengiktirafan sebagai warisan kebangsaan di seluruh negara.

Sekolah yang terletak di atas Bukit Nanas itu dibuka oleh mubaligh Kristian iaitu La Sallian Brothers.

Pada awalnya ia adalah sebuah bangunan kayu dua tingkat bertiang konkrit.

Pada 3 November 1906, Kaunselor Selangor Sir Conway Belfield, telah meletakkan batu asas bangunan utama sekolah yang direka oleh Rev Bro Vernier Augustus dan kemudiannya dirasmikan oleh Gabenor dan Pesuruhjaya British Sir John Anderson pada 10 Ogos 1907.

Pada tahun 1966, di bawah naungan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pada ketika itu Tun Dr Ismail Abdul Rahman sebuah bangunan baru yang dinamakan Bangunan Lee Kuo Chuan dibina, dan pada tahun 1989, kompleks sukan dan blok tingkatan enam (Bangunan Tan Sri Dominic Vendargon) didirikan.

Bangunan utama sekolah yang bercirikan reka bentuk Romanesque yang berwarna merah dan putih tetap kekal walaupun pelbagai projek pembinaan dilaksanakan. - BERNAMA

Artikel Lain