suria

2 Tan Gula Dirampas Di Sebuah Rumah Di Rantau Panjang

PASIR MAS: Kira-kira 2,000 kilogram gula bernilai RM2,000 dirampas di sebuah rumah di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang semalam.

Berikutan juga seorang remaja berumur 18 tahun ditahan di situ.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pasir Mas, Hanafi Mamat berkata, rampasan dibuat kira-kira 5 petang di premis berkenaan yang dijadikan stor menyorok barangan kawalan itu sebelum diseludup ke negara jiran.

Beliau berkata, remaja berkenaan boleh didakwa di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Barangan 1969 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara.

Menurut Hanafi, aktiviti menyorok gula di daerah ini semakin berleluasa dan semakin rancak berikutan mendapat permintaan yang tinggi.

Beliau berkata, harga gula tempatan jauh lebih murah daripada harga gula di Thailand.

"Sekilogram gula tempatan dijual dengan harga RM1.60 berbanding RM2.90 di Thailand," katanya.

Beliau berkata, kegiatan menyorok gula merupakan antara faktor bekalan gula di Pasir Mas berkurangan.

Dari Januari hingga setakat ini, 13, 350 kilogram gula bernilai RM30,000 dirampas di Pasir Mas, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain