suria

13 Lagi Kes Positif H1N1

KUALA LUMPUR: Sejumlah 13 kes disahkan positif Influenza H1N1 sehingga petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul kes sebanyak 14,479.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, kementerian juga menerima laporan lima kes kejadian kluster penyakit serupa influenza (ILI), masing-masing di Pulau Pinang, Perak, Pahang, Terengganu dan Sarawak.

"Jumlah kes ILI yang masih dirawat di wad seluruh negara sebanyak 591 kes dan 70 kes daripadanya disahkan positif H1N1 sementara bilangan kes ILI di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 14 kes dengan 10 daripadanya berisiko H1N1," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut mengesahkan bahawa kematian seorang wanita berusia 51 tahun seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan semalam bukanlah disebabkan oleh jangkitan H1N1.

"Keputusan sampel H1N1 masih belum diperolehi dan kes di Pulau Pinang dan Perak diberikan rawatan sebagai pesakit luar sementara kes yang berlaku di tiga lagi negeri diberikan rawatan antiviral," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan virus influenza H1N1 seperti fasiliti kesihatan kerajaan yang menyediakan kemudahan pelalian kepada kumpulan berisiko serta langkah-langkah pencegahan boleh melayari lawan sesawang di http://www.moh.gov.my atau http:h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-88810200/300. - BERNAMA

Artikel Lain