suria

Beberapa Jalan Utama Ditutup Sempena Citrawarna 1Malaysia 2010

KUALA LUMPUR: Beberapa jalan utama di sekitar Dataran Merdeka akan ditutup beberapa jam selama tiga hari mulai esok bagi melancarkan persiapan perarakan "Citrawarna 1Malaysia 2010" Sabtu ini.

Kenyataan daripada Kementerian Pelancongan hari ini menyebut Jalan Raja, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Esfahan akan ditutup dari 7 petang hingga 1 pagi esok; dari 5 petang Jumaat untuk raptai penuh sehingga selesai dan dari 5 petang Sabtu sehingga berakhirnya perarakan berkenaan.

Jalan lain yang terlibat ialah Lebuh Ampang, Lebuh Pasar, Jalan Tun Perak, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut menghala ke arah Jalan Raja akan ditutup mulai 5 petang hingga 1 pagi.

Perarakan sejauh 1.5km oleh 6,000 peserta daripada pelbagai kaum dan kumpulan etnik itu akan mempersembahkan tarian di atas jalan, bermula dari Jalan Raja menuju ke arah Jalan Raja Laut dan kemudian bergerak menerusi Jalan Isfahan dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Kenyataan itu turut menyebut kemuncak bagi acara tahun ini ialah persembahan Dikir Barat mega oleh sekumpulan 5,000 peserta yang dijangka dicatatkan dalam Malaysia Book of Records.

Citrawarna 1Malaysia yang dilancarkan pada 1999 dan kini menjadi acara tahunan, akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan turut hadir.

Orang ramai yang ingin menyaksikan acara itu dinasihati supaya menggunakan pengangkutan awam seperti LRT, komuter dan RapidKL memandangkan perkhidmatan itu akan dilanjutkan sehingga 1 pagi. - BERNAMA

Artikel Lain