suria

Tempoh Masa Maksimum Permohonan Taraf Kewarganegaraan Sedang Dikaji

HULU SELANGOR: Kerajaan sedang mengkaji kesesuaian tempoh masa maksimum permohonan taraf kewarganegaraan bagi mengelak pemohon menunggu terlalu lama, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, penetapan tempoh masa itu penting kerana sekiranya tidak berjaya, pemohon boleh mengambil tindakan lain dalam menentukan hala tuju kehidupan mereka khususnya dari aspek kewarganegaraan.

"Dalam masa terdekat ini kami nak lakukan beberapa perubahan. Antaranya menentukan apakah tempoh masa yang paling sesuai untuk pemohon tahu status dan jangka masa permohonan mereka, khususnya bagi mereka di luar bandar dan pedalaman.

"Kajian kita sedang berada di peringkat akhir. Kita nak tentukan tempoh masa agar pemohon tidak menunggu terlalu lama dan boleh ambil alternatif lain jika permohonan mereka tak diluluskan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat kelulusan permohonan taraf warganegara, sijil warganegara dan sijil daftar lewat kelahiran di Taman Seri Cahaya, Batang Kali di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Datuk Alwi Ibrahim dan Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali Mohd Isa Abu Kassim.

Hishammuddin berkata, walaupun keputusan sama ada berjaya atau sebaliknya akan bergantung pada syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan, namun fokus utama kementerian adalah untuk memastikan pemohon mendapat keputusan dalam tempoh masa yang munasabah.

Sehubungan itu beliau berkata, bermula tahun ini pihaknya telah menetapkan sasaran bahawa setiap permohonan kewarganegaraan perlu dimaklumkan keputusannya dalam tempoh selewat-lewatnya dua tahun dari tarikh permohonan yang lengkap diterima.

Katanya, sasaran tempoh masa itu adalah berdasarkan tempoh pemprosesan dokumen, sesi ujian dan temuduga serta tapisan keselamatan.

"Usaha ini penting untuk pastikan mereka yang layak tidak dinafikan hak dan mereka yang tidak berjaya boleh membuat dan mencari alternatif lain. Ia juga penting kerana ada kaitan langsung dengan gambaran kualiti sistem pengurusan dan penyampaian kerajaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

39 Kes Baru H1N1 Dikesan

Artikel Lain