suria

Perhilitan Rampas 15 Ekor Hidupan Liar Dilindungi

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 ekor hidupan liar dan tiga jenis anggota badan hidupan itu dirampas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daripada dua individu yang dipercayai menyimpan dan memelihara hidupan yang dilindungi itu di dua lokasi di Johor Baru.

Serbuan pertama dibuat pada 5 petang Khamis lepas di sebuah premis perniagaan hidupan liar dan di rumah pemilik premis itu di Johor Baharu serta merampas 14 ekor hidupan liar dan tiga jenis anggota badan hidupan itu yang telah diawet.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Perhilitan, Saharudin Anan hari ini berkata, antara hidupan liar yang dirampas ialah tiga ekor burung tiong mas yang tidak matang, lima ekor burung tanau, dua ekor burung serindit dan masing-masing seekor ungka, burung rose-ringed parakeet, beruk yang tidak matang dan burung electus parrot jenis betina.

"Selain itu pihak kita juga turut merampas sepasang tanduk kambing gurun, satu rangka kepala beserta tanduk rusa dan kulit kijang yang diawet," katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata, beberapa jenis hidupan liar itu dilindungi sepenuhnya dan memerlukan permit khas daripada pihak berkuasa untuk memiliki dan memelihara hidupan tersebut. Katanya, pemilik premis berusia lingkungan 40-an itu telah mengurung hidupan tersebut dalam sangkar berasingan yang disembunyikan dalam stor di rumah dan premisnya.

"Pihak kita sedang menjalankan siasatan terhadap lelaki itu dan jika didapati bersalah, dia akan didakwa di mahkamah mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972," katanya.

Saharudin berkata, jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh didenda tidak lebih RM37,000 atau penjara tidak melebihi 30 tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam serbuan berasingan, pihaknya merampas seekor burung lang siput yang dipelihara oleh seorang wanita berusia lingkungan 40-an di premis mencuci kereta miliknya di Johor Baharu pada pukul 3 petang semalam.

Beliau berkata, hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya itu dijumpai tersimpan dalam sangkar yang dibina khas di kawasan premis itu.

"Wanita itu juga sedang disiasat mengikut akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain