suria

Empat Bersaudara Bebas Tuduhan Bunuh Pekerja Kilang

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan dua beradik dan dua sepupu mereka daripada tuduhan membunuh seorang pekerja kilang menggunakan parang, enam tahun lepas, tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap P.Vijayannand, 28, dan adik lelakinya yang berumur 23 tahun (ketika kejadian berumur 17 tahun), serta sepupu mereka, M.Suresh, 26, dan A.Magendran, 33.

Beliau berkata, adalah tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada keterangan dua saksi pendakwaan yang merupakan saksi dalam kes itu berdasarkan kepada wujudnya percanggahan yang terlalu besar dalam keterangan mereka.

Sejurus Mohd Zaki membacakan keputusannya, kesemua tertuduh dan anggota keluarga mereka menjerit kegembiraan menyebabkan beberapa anggota polis mahkamah terpaksa meminta mereka diam kerana mahkamah masih bersidang.

Sejurus prosiding berakhir, keempat-empat tertuduh dilihat segera meninggalkan mahkamah bersama anggota keluarga mereka.

Vijayannand dan adiknya serta Suresh dan Magendran didakwa bersama-sama membunuh M.Thevakumer, 24, di hadapan sebuah rumah di Jalan Mempari 11, Taman Bayu, Meru, Klang, pada 9.15 malam 25 Ogos 2004.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 16 Julai 2008, pendakwaan mengemukakan 11 saksi.

Timbalan Pendakwa Raya Alfred Egin hadir bagi pihak pendakwaan manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Amrit Pal Singh, Ayasamy Velu dan M.M.Athimulan. - BERNAMA

Artikel Lain