suria

Laman Web Ajaran Sesat Akan Disiasat - Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyiasat laporan mengenai kewujudan satu laman web yang dipercayai mempunyai unsur ajaran sesat yang dikesan baru-baru ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata siasatan dan pemantauan itu nanti akan melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Inilah masalahnya sekarang.... ramai sangat orang yang cepat percaya dengan perkara-perkara yang tidak masuk akal. Oleh itu, kita akan segera pantau dan siasat perkara ini kerana kita tidak mahu laman web ini berleluasa dan mempengaruhi pemikiran masyarakat kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pengurusan Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Jamil Khir berkata Jabatan Perdana Menteri akan menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi komunikasi dan multimedia yang lain bagi memantau aktiviti ajaran sesat yang disebarkan melalui internet dari semasa ke semasa.

"Saya fikir kita harus ada jalinan yang baik dengan syarikat mahupun agensi yang melibatkan jaringan internet ini kerana mereka antara yang boleh memantau perjalanan yang tidak sihat berlaku menerusi internet," katanya. Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Jamil Khir mahu semua ahli jawatankuasa masjid menguruskan kewangan mereka dengan baik supaya dapat menjalankan aktiviti ummah dan kemasyarakatan tanpa membebankan pihak lain.

"Mereka tidak harus hanya bergantung kepada tabung masjid tetapi perlu lebih aktif iaitu dengan bergerak dari rumah ke rumah bagi mengutip derma kerana dengan cara ini mereka tidak akan terlalu bergantung kepada pihak lain seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk membantu kewangan mereka bagi aktiviti mahupun menambah baik kemudahan dalam masjid," katanya.

Beliau turut menggalakkan ahli jawatankuasa masjid mewujudkan bazar atau 'kiosk' dan keuntungan hasilnya boleh digunakan untuk membiayai program yang akan dilaksanakan oleh masjid. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain