suria

Rakyat Kecewa Dengan Pentadbiran Guan Eng

KEPALA BATAS: Kebangkitan rakyat Pulau Pinang menyatakan bantahan secara terbuka terhadap kepimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng, adalah bukti jelas mereka tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran dan pendirian beliau, kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah yang juga anggota Parlimen Kepala Batas berkata perkara itu nampak semakin jelas dan ketara kerana mereka yang mengkritik adalah pemimpin parti dalam pakatan pembangkang sendiri iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Itu menunjukkan satu tanda kelemahan sejak Setiausaha Agung DAP berkenaan mengambil alih kepimpinan sebagai Ketua Menteri dan situasi ini akan berlarutan serta membawa kelemahan kepada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ang pow dan barangan sempena Tahun Baru Cina di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, tiga anggota Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Kepala Batas iaitu Datuk Azhar Ibrahim (Penaga), Datuk Roslan Saidin (Pinang Tunggal) dan Zabariah Wahab (Bertam) serta beberapa pemimpin masyarakat Cina. Kerajaan negeri pimpinan DAP dikritik hebat sejak kebelakangan ini dengan Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Zaharin Mohamed Hashim daripada PKR, melabelkan Lim sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran komunis.

Selain itu, Anggota Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng, juga daripada PKR turut mengkritik Ketua Menteri dengan mendakwa pentadbiran kerajaan negeri meminggirkan Anggota Parlimen PKR serta tidak boleh dikritik.

Malahan Jumaat lepas, kira-kira 3,000 anggota daripada 50 pertubuhan bukan kerajaan mengadakan demonstrasi bagi menunjukkan bantahan terhadap pentadbiran kerajaan negeri yang didakwa meminggirkan orang Melayu.

Mengenai dakwaan kononnya Umno menjadi dalang terhadap kebangkitan berkenaan, Abdullah berkata Umno tidak berbuat demikian dan tidak ada kaitan dengan permasalahan yang berlaku dalam pakatan pembangkang sebaliknya ia adalah suara ketidak puasan hati anggota mereka sendiri. Dalam perkembangan lain, Abdullah menggesa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar menyatakan pendiriannya berhubung cadangan mengadakan pertemuan antara parti itu dan Umno seperti yang disuarakan semula oleh Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan.

Katanya sebarang ketetapan sama ada mahu mengadakan pertemuan itu bergantung kepada keputusan Presiden PAS sendiri dan bukannya mengikut kata putus Mursyidul Am berkenaan.

"Umno sentiasa bersedia untuk berbincang berhubung isu itu dan sekiranya kepimpinan PAS pusat bersetuju untuk mengadakan pertemuan berkenaan, perkara itu wajar di teruskan. Pertemuan itu satu tindakan yang baik dan PAS perlu melihat perkara itu dari sudut yang positif jika mahu mengadakan pertemuan sedemikian," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain