suria

KPDNKK Johor Bongkar Kegiatan Pindagh Gas Bersubsidi

JOHOR BAHARU: Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor berjaya membongkar kegiatan memindahkan gas memasak dari tong gas bersubsidi ke dalam tong gas industri selepas menyerbu sebuah premis di kawasan Perindustrian Taman Tan Sri Yaakob, Skudai, hari ini.

Pengarah KPDNKK Johor, Che Halim Ab Rahman berkata dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi itu, pihaknya percaya terdapat tiga hingga empat orang pekerja warga asing yang sedang melakukan kerja pemindahan gas dari tong seberat 14 kilogram (kg) ke dalam tong industri seberat 50kg berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata pekerja terbabit berjaya melarikan diri mengikut pintu belakang sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

"Pemeriksaan di dalam premis itu menemui 520 tong gas. Daripada jumlah itu, 300 adalah tong kosong bersaiz 14kg, 180 tong berisi gas bersaiz 14kg manakala 40 tong lagi adalah tong kosong bersaiz 50kg," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Che Halim berkata kesemua tong yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM40,000.

Che Halim berkata pihaknya membuat risikan selama seminggu selepas menerima maklumat orang awam mengenai penyimpanan gas berkenaan sebelum menyerbu premis itu.

Katanya, selain melakukan pemindahan gas, siasatan awal juga mendapati pemilik premis berkenaan turut melakukan penipuan dengan mengurangkan kandungan tong gas bersaiz 14kg itu sebanyak dua kilogram sebelum membekalkannya kepada peruncit di bandaraya ini.

Siasatan akan dibuat untuk mengesan pemilik premis atau mereka yang berkaitan, katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain