suria

Pasangan Kembar Maut Motosikal Rempuh Lori

HULU TERENGGANU: Sepasang kembar berusia 14 tahun maut apabila motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori berhampiran selekoh di KM2, Jalan Kuala Telemong Nibong dekat sini hari ini.

Muhammad Khairul Aswad Mohammad dan adiknya Muhammad Khairul Armi mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Supritendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata, kejadian pada pukul 2.30 petang itu berlaku ketika pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Telemong itu dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumah mereka di Kampung Bukit Aman, Sungai Tong Setiu.

"Sebuah lori yang datang dari arah Kampung Matang menghala ke Kuala Telemong telah memasuki laluan kanan dan bertembung dengan motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, lori berkenaan membawa batu kerikil untuk pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 2 dan polis telah menahan pemandu lori terbabit bagi membantu siasatan.

Bapa mangsa Mohammad Embong, 61, berkata, beliau menerima berita sedih yang menimpa anak ke 10 dan 11 dari 12 beradik itu ketika baru pulang dari menoreh getah.

"Seluar untuk pergi menoreh pun belum sempat disalin dan bila terima panggilan saya terus ke tempat kejadian. Bila sampai, saya lihat kedua-duanya bergelimpangan sambil berpelukan dengan berlumuran darah," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Hulu Terengganu.

Beliau berkata, dia hanya mampu melihat dari jauh kerana terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.

Mohammad berkata, mayat kedua-dua anaknya itu akan dikebumi dalam satu liang lahad kira-kira pukul 10 malam ini di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aman.

Sementara itu, MTD Group dalam kenyataan petang ini berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama penuh dan akan menghormati apa jua keputusan siasatan polis berhubung kejadian itu sebelum mengambil tindakan lanjut.

Ketua Jabatan Komunikasi Fazlyyaton Hussein berkata, pemandu lori berkenaan adalah pekerja kepada sub kontraktor yang terlibat dengan pembinaan pakej 10 LPT Fasa 2 itu.

"Kami simpati dengan kejadian yang menimpa pelajar itu dan bersedia untuk menghulurkan apa jua bantuan bagi meringankan bebanan keluarganya," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain