suria

Bung Moktar Mahu Pembinaan Pusat Penempatan Mangsa Banjir Dipercepat

KINABATANGAN: Anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin mahu pembinaan pusat penempatan mangsa banjir di kawasan ini dipercepatkan.

Beliau kesal dengan kelewatan pembinaan empat penempatan baru bagi menempatkan penduduk yang menghadapi masalah banjir setiap tahun.

"Tapak membina empat penempatan semula itu telah dikenal pasti dan sudah diluluskan oleh kerajaan, tetapi sehingga hari ini ia masih belum dilaksanakan oleh agensi kerajaan yang telah dilantik," katanya kepada pemberita semasa melawat mangsa banjir di Kampung Bukit Garam, di sini hari ini.

Empat penempatan tersebut ialah di kampung Bukit Garam, Muhibbah, Mengaris dan Balat.

"Agensi kerajaan yang dilantik sepatutnya melaksanakan projek ini dengan secepat mungkin kerana tender pelaksanaannya telah pun dikeluarkan.

"Projek untuk rakyat sepatutnya dilaksanakan dengan segera supaya rakyat dapat menikmatinya dan mengatasi masalah banjir yang mereka hadapi setiap tahun," katanya.

Bung Moktar berkata beliau akan membawa masalah tersebut kepada perhatian perdana menteri dan juga membangkitkannya di Dewan Rakyat.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain