suria

Pusat Hiburan Tanpa Lesen Diserbu Kali Ketiga

KUALA LUMPUR: Meskipun telah dua kali diserbu kerana beroperasi tanpa lesen, pengusaha sebuah pusat hiburan di Taman Kencana, Pandan Perdana di sini masih tidak serik dan tetap meneruskan operasi mereka.

Malam semalam, pusat hiburan yang baru beroperasi selama sebulan itu diserbu sekali lagi oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kira-kira jam 10 malam.

Penolong Pegawai Penguatkuasa MPAJ, Rosli Jaafar berkata, pusat hiburan itu sebelum ini telah dua kali dikompaun tetapi tidak membayar kompaun yang bernilai RM50,000 itu.

"Mereka mendakwa diberikan lesen sementara untuk beroperasi sedangkan apa yang mereka dakwa sebagai lesen sementara itu sebenarnya adalah surat permohonan lesen.

"Mereka beroperasi sejak Disember tahun lepas dan meskipun telah diberikan kompaun dan amaran, mereka tetap berdegil meneruskan operasi," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas kesemua kerusi, meja, sistem audio dan arak yang berada dalam premis itu.

Rosli berkata, dalam serbuan berikutnya di Jalan Bunga Tanjung 11A, Taman Seraya, MPAJ turut mengeluarkan kompaun ke atas sebuah pusat latihan nyanyian yang menyalahgunakan lesen yang diberi.

"Pusat latihan nyanyian itu sepatutnya merupakan premis untuk mengajar kanak-kanak menyanyi tetapi disalahgunakan dengan menjadikannya sebagai pusat karaoke," katanya sambil menambah MPAJ turut merampas meja dan kerusi premis terbabit.

Beliau berkata, MPAJ kemudian menyerbu sebuah premis kafe berinternet yang terletak di bawah pusat latihan nyanyian tersebut sebelum merampas kira-kira 20 set komputer selepas didapati beroperasi tanpa lesen. - BERNAMA

Artikel Lain