suria

Ops Krismas AADK: Penjawat Awam Ditahan

PADANG BESAR: Seorang penjawat awam antara lima lelaki yang ditahan sepanjang Ops Krismas Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang dijalankan di sini selama dua hari yang berakhir malam tadi.

Pengarah AADK Perlis, Khairul Anwar Ahmad yang mengetuai operasi itu berkata, penjawat awam berusia 28 tahun itu ditahan di pintu sempadan semasa pulang dari Thailand.

Katanya, semasa saringan dilakukan, penjawat awam itu didapati positif mengambil dadah jenis ganja.

Menurutnya, seramai 180 rakyat Malaysia yang baru pulang dari Thailand diperiksa secara rambang dan lima yang ditahan adalah lelaki yang berumur antara 20 dan 30 tahun.

Khairul Anwar berkata, sepanjang operasi yang membabitkan 53 anggota itu, AADK juga merampas 0.1 gram dadah jenis syabu dalam sebuah kenderaan yang memasuki pintu sempadan negara. "Kenderaan itu disita dan diserahkan kepada polis termasuk tiga lelaki yang menaiki kenderaan itu," katanya.

Beliau berkata dadah itu berjaya dikesan menggunakan anjing pengesan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang turut menyertai operasi itu.

Selain KDRM, turut menyertai operasi itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain