suria

GST Letak Malaysia Setaraf Negara Maju

IPOH: Pelaksanaan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) bertujuan meletakkan ekonomi negara pada tahap yang sama dengan negara maju dan sesuai dengan peredaran zaman.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pelaksanaan GST memberi kelebihan, terutama kepada kerajaan dalam meningkatkan aliran pendapatan yang kemudiannya boleh digunakan bagi melaksanakan projek-projek untuk manfaat seluruh rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, hanya tiga negara di rantau Asia Tenggara tidak mengamalkan sistem percukaian ini iaitu Malaysia, Brunei dan Myanmar.

"Brunei tidak mengamalkan sistem percukaian dan kita pula akan menyertai 143 buah negara lain yang melaksanakan GST. Kita perlu berubah untuk memastikan berada dalam kelompok terbaik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Siratulrahim Pusat Khidmat Bergerak Barisan Nasional Parlimen Tambun, di sini hari ini.

Katanya, rakyat negara ini kini semakin rasional dan usaha pihak tertentu yang mahukan kerajaan menangguhkan atau mengkaji semula perkara itu mestilah mempunyai alasan yang kuat dan berasas.

Ahmad Husni berkata, sistem GST yang diperkenalkan kerajaan dengan cadangan empat peratus bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan antara lima dan 10 peratus ketika ini, akan meningkatkan keberkesanan kutipan hasil negara.

"Kita percaya kutipan daripada GST akan kembali kepada rakyat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain