suria

Rumah Merdeka Ditutup Sementara Selepas Dinaiki Air

ALOR SETAR: Rumah bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj atau 'Rumah Merdeka' di Jalan Putera di sini, ditutup sementara kepada orang ramai bermula hari ini selepas air Sungai Anak Bukit yang terletak di belakang rumah berkenaan melimpah ke dalam kawasan memorial itu.

Pembantu arkib, Shukriah Zawani Mohd Radzi berkata sebahagian perabot di Rumah Merdeka terpaksa dipindahkan ke pejabat Arkib Negara Cawangan Kedah/Perlis di Alor Merah dekat sini, selepas air dari sungai berkenaan melimpah masuk sehingga ke bahagian ruang rehat serta pejabat di rumah berkenaan.

"Kami pindahkan barang selepas menyedari air mula naik kira-kira pukul 12 tengah malam (Ahad) dan tempat ini dijangka ditutup selama seminggu sehingga keadaaan benar-benar pulih," katanya ketika ditemui pemberita di Rumah Merdeka, di sini hari ini.

Shukriah Zawani berkata pada hari biasa, Rumah Merdeka dibuka setiap hari kecuali Isnin dari pukul 10 pagi hingga 5.30 petang, manakala dibuka setiap hari pada setiap cuti penggal persekolahan.

Rumah Merdeka merupakan rumah lama milik Tunku Abdul Rahman yang dibeli oleh kerajaan pada 2003 untuk dijadikan memorial yang menyimpan pelbagai kisah menarik mengenai Bapa Kemerdekaan itu.

Rumah Merdeka yang diuruskan oleh Arkib Negara, mempamerkan pelbagai dokumentasi daripada bentuk teks, foto dan audio visual mengenai Tunku Abdul Rahman dari zaman kanak-kanak sehingga dewasa. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain