suria

Sudah Tiba Masanya Ahli Akademik Kaji Sekuriti Siber

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya bagi ahli akademik di negara ini terutama dari Institusi Pengajian Tinggi menerokai, mengkaji dan menyelidik bidang berkaitan sekuriti siber, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Selasa.

Katanya meskipun bidang itu masih baru di Malaysia tetapi keperluan untuk menguasai dan memiliki kepakaran berkaitan sekuriti siber menjadi begitu kritikal bagi negara maju seperti Korea Selatan dan Amerika Syarikat yang kerap menjadi mangsa pengodam.

Ancaman dan trend cabaran masa depan sekuriti siber mestilah diberi penekanan dalam kajian dan penyelidikan yang mahu dijalankan, katanya ketika merasmikan "Hacker Halted Asia Pacific 2009", di sini.

Sumbangan kajian dan penyelidikan tersebut, katanya akan menjadi bahan intelektual yang amat berharga dalam mempersiapkan negara mendepani isu kritikal seumpama ini.

Menurutnya ahli akademik yang berminat boleh memohon geran dan dana khas seperti melalui Skim Geran Kajian Fundamental, Inno Fund atau Science Fund dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi atau Malaysian Common Criteria Evaluation and Certification Scheme di bawah Cyber Securities Malaysia.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan kerajaan telah memperuntukkan lebih RM510 juta bagi bidang kajian seperti itu, jelasnya.

Pada masa yang sama Institusi Pengajian Tinggi turut disaran menggalakkan pegawai dari Jabatan Teknologi Maklumat masing-masing mengikuti kursus berkaitan sekuriti siber yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. BERNAMA

Artikel Lain